PUTRAJAYA – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) komited dalam usaha menangani isu kenaikan harga bawang sejak kebelakangan ini menimbulkan rungutan dalam kalangan pengguna.
Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, berkata pihaknya memantau rapi perkembangan isu itu dan sentiasa mencari jalan terbaik bagi mengatasinya.
“Seperti barangan keperluan lain, harga bawang turut dipengaruhi faktor bekalan dan permintaan. Jika bekalan berkurangan dan tidak mampu menampung permintaan yang tinggi, ia tentunya akan mempengaruhi kenaikan harganya di pasaran.
“Ini yang berlaku ke atas bawang India, yang turut mempengaruhi keseluruhan bekalan bawang di negara ini, kecuali beberapa jenis bawang seperti bawang Holland,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Alexander berkata, pengimportan bawang adalah di bawah seliaan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) dengan KPDNHEP bertindak dalam memastikan tiada elemen pencatutan atau tindakan menaikkan harga secara tidak munasabah berlaku dalam pasaran termasuk bekalan bawang.
“Malaysia mengimport bawang dari pelbagai negara sebagai salah satu strategi berkesan untuk memastikan bekalan sentiasa mencukupi.
“Pada masa sama, Malaysia juga tidak bergantung kepada sesebuah negara sahaja. Ini kerana jika sesebuah negara tersebut mengalami bencana alam seperti kemarau, banjir, gempa bumi dan tanah runtuh, atau melaksanakan sekatan ekonomi, maka kita tidak akan terancam dan bekalan bawang tidak terganggu walaupun harga mungkin akan menerima impak,” katanya.
Beliau berkata, sebanyak 121 syarikat pengimport telah meningkatkan jumlah pengimportan bekalan bawang dari negara seperti Pakistan, Thailand, Belanda dan China bagi menampung keperluan bawang semasa rakyat Malaysia.
Menurutnya, ia susulan arahan larangan eksport yang dikeluarkan kerajaan India ke
atas semua jenis bawang kecuali jenis ‘Bangalore Rose’ dan ‘Krishnapuram’ pada 14 September lalu.
Larangan itu dikeluarkan bertujuan untuk menampung keperluan domestik di India ekoran bencana banjir yang berlaku pada Julai lalu.
“Kementerian dimaklumkan terdapat 29 negara yang mengeksport bawang ke Malaysia dan lima negara adalah pengeksport terbesar iaitu India (36 peratus), Pakistan (23 peratus), China (19 peratus), Belanda (9 peratus) dan Thailand (7 peratus).
“Daripada jumlah tersebut, India merekodkan jumlah pengimportan bawang sebanyak 149,539,411 kilogram. Jumlah besar ini berdasarkan minat dan cita rasa rakyat Malaysia,” katanya.
Sementara itu, Alexander berkata, Pasukan Penguat Kuasa KPDNHEP akan terus melakukan pemeriksaan dan pemantauan berhubung perkara itu di semua peringkat termasuk pembekal, pemborong dan peruncit.
Beliau berkata, pihak kementerian tidak akan teragak-agak untuk melaksanakan harga kawalan seperti termaktub dalam Perintah Kawalan Harga dan Antipencatutan (Penentuan Harga Maksimum) (No. 2) (Pindaan) 2020 jika keadaan mendesak dan memerlukan. -K! ONLINE