![](https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2020/07/Zulkifli-Manzor-scaled-e1595258001952.jpg)
WARTAWAN EKSEKUTIF
PADA tahun hadapan sebahagian pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dibenarkan mengeluarkan simpanan Akaun 1 di bawah program i-Sinar.
Dianggarkan seramai dua juta ahli KWSP yang kehilangan pekerjaan, diberi cuti tanpa gaji atau ketiadaan pendapatan disebabkan Covid-19 bakal menikmati manfaat program itu.
Peruntukan yang ditetapkan bagi syarat pengeluaran i-Sinar adalah ahli KWSP yang mempu-nyai baki RM90,000 dan ke bawah di dalam Akaun 1 mempunyai akses amaun sehingga RM9,000.
Ahli KWSP yang mempunyai baki lebih RM90,000 pula akan mempunyai akses 10 peratus, tetapi jumlah maksimum boleh didahulukan RM60,000.
Bersyukurlah kesemua yang layak kerana KWSP pada awalnya tidak mahu memberi kebenaran pengeluaran simpanan Akaun 1.
Bagaimanapun, beringatlah kepada pencarum yang layak.
Wang yang bakal anda terima jangan sesekali disamakan dengan bonus atau durian runtuh.
Perlu ingat wang itu untuk kegunaan hari tua yang anda sendiri dahulukan atas sebab ‘kecemasan’.
Sejak beberapa hari lalu pelbagai pendapat dilontarkan bagaimana wang Akaun 1 itu wajar dibelanjakan pencarum.
Ketua Ekonomi Pusat Kajian Pasaran Buruh Masa Hadapan Pejabat Insurans Pekerjaan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), Prof. Madya Dr. Mohd. Yusof Saari mempunyai pandangan tersendiri.
Beliau menasihatkan pencarum supaya tidak menggunakan wang Akaun 1 sebagai modal perniagaan.
Pencarum yang terjejas mata pencarian dan mahu memulakan perniagaan perlu mendapatkan bantuan daripada agensi kerajaan, bukan menggunakan wang Akaun 1.
“Pencarum kena berhati-hati dalam keadaan tidak menentu ini risiko adalah tinggi jika ingin melabur dalam perniagaan.
“Wang itu perlu digunakan sebaik mungkin untuk meneruskan kelangsungan hidup,” katanya.
Terdapat cadangan supaya wang itu digunakan untuk membeli motosikal bagi menyertai perkhidmatan penghantaran sementara mendapat pekerjaan lain yang lebih baik.
Jauhari juga yang mengenal manikam, pada akhirnya yang akan membuat keputusan adalah pencarum sendiri.
Menelusuri perdebatan itu, penulis teringat kepada Teori Hierarki Keperluan Manusia oleh Abraham Maslow pada 1943.
Teori itu menyatakan tentang keperluan dalam kehidupan manusia iaitu fisiologi, keselamatan, disayangi dan dicintai, penghargaan diri dan sempurna kendiri.
Setiap manusia akan memastikan tahap keperluan terendah hierarki dipenuhi terlebih dahulu sebelum berusaha penuhi keperluan tahap yang lebih tinggi.
Berdasarkan keadaan pencarum yang dikategorikan layak mengeluarkan simpanan Akaun 1, teori itu mencadangkan mereka akan memenuhi perkara paling asas iaitu keperluan fisiologi dan keselamatan.
Fisiologi seperti keperluan pemakanan, pakaian, tempat berteduh, manakala keselamatan seperti keperluan berasa selamat, memiliki pekerjaan, sumber pendapatan dan kesihatan.
Teori itu juga secara tidak langsung mencadangkan pencarum tidak begitu jahil untuk membeli Sony PlayStation 5 (PS5) dengan menggunakan wang tersebut.
Yakinlah kepada pencarum yang layak akan melakukan yang terbaik untuk membantu kehidupan mereka sendiri pada waktu-waktu sukar begini.