fbpx

Gading Kencana perintis NEDA bina loji jana kuasa solar bernilai RM110 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SHAH ALAM – Penyedia perkhid­matan tenaga boleh diperbaharui, Gading Kencana Development Sdn. Bhd. (Gading Kencana) menjadi perintis bagi ­skim New Enhanced Dispatch Arrangement (NEDA) menerusi pembinaan loji jana kuasa solar baharu syarikat itu tahun depan.

Projek loji berskala besar di Pekan Pasir, Bidor, Perak itu akan dibina di kawasan berkeluasan 30 hektar dengan peruntukan kos bernilai RM110 juta.

Pengarah Urusannya, Datuk Dr. Ir. Guntor Mansor Tobeng berkata, pembinaan loji berkapasiti pengeluaran tenaga sebanyak 30 megawatt (MW) itu dilaksanakan selepas pihaknya memeterai perjanjian dengan Tenaga Nasional Bhd. (TNB) pada Jun lalu.

“Projek yang telah mendapat kelulusan Suruhanjaya Tenaga itu kini dalam proses akhir pe­ngurusan termasuk melibatkan surat kebenaran merancang dan bekalan air.

“Jika semuanya berjalan lancar, pembinaan akan dijalankan bermula tahun depan dan dijang­ka siap sepenuhnya pada Jun 2022,” katanya ketika ditemui ­Kosmo! di pejabatnya di Seksyen 13 di sini baru-baru ini.

Gading Kencana memiliki dua ladang solar di Ayer Keroh, Me­laka dan Kampung Jeram Mengkuang, Bidor yang masing-masing berkapasiti pengeluaran tenaga sebanyak lapan dan 30 MW.

Kedua-dua loji berkenaan me­libatkan kos pembinaan keseluruhan bernilai lebih RM300 juta dan dikendalikan sepenuhnya oleh pekerja tempatan.

Guntor menerangkan, biarpun menyedari cabaran lebih getir bakal dihadapi menerusi NEDA, syarikat bersedia menyahut seruan kerajaan menjadi perintis dan terus menerokai industri bekalan elektrik.

“Skim itu meliputi Sistem Harga Marginal (SMP) iaitu nilai tarif bahan bakar bergantung kepada faktor permintaan dan pasaran semasa yang tidak menentu.

“Namun, berbekalkan kemampuan dan pengalaman dalam industri tenaga solar sejak 1993, kami yakin mampu menguruskan loji baharu itu sebaik mungkin kelak,” katanya.

NEDA mula diperkenalkan pada Oktober 2015 seiring pelan reformasi industri bekalan elektrik yang bertujuan memupuk persaingan antara penjana tenaga di negara ini.

Skim itu tidak menetapkan sebarang had tempoh perjanjian berbanding Projek Loji Jana Kuasa Solar Berskala Besar (LSS) iaitu selama 21 tahun.

Selain itu, kata beliau, syarikat turut membida Projek Loji Jana Kuasa Solar Berskala Besar Pusingan Keempat (LSS4) yang bakal menawarkan jumlah kapasiti pengeluaran tenaga sehingga 1,000 MW.

“Bidaan berkenaan mula dibuka sejak September lalu dan melibatkan sebanyak 97 syarikat tempatan.

“Keputusan dijangka diperoleh pada awal tahun depan dan kita optimis menjadi antara syarikat terpilih dalam projek tersebut,” katanya yang me­nerima Ijazah Kehormat Doktor Falsafah (Sains) Universiti Tun Hussein Onn (UTHM) pada 8 November lalu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI