PUTRAJAYA – Kajian yang dilakukan oleh Institut Penyelidikan Klinikal (ICR) Malaysia mendapati, enam daripada 1,000 kes positif Covid-19 berkemungkinan meninggal dunia.
Kajian sama melaporkan, sebanyak 65 peratus kes kematian akibat Covid-19 di negara ini melibatkan mangsa lelaki, manakala baki 35 peratus adalah golongan wanita.
Kementerian Kesihatan (KKM) berkata, golongan yang berusia antara 60 hingga 69 tahun adalah yang paling tinggi dilaporkan meninggal dunia.
“Sebanyak 64 peratus kematian akibat Covid-19 berumur 60 dan ke atas.
“Daripada jumlah itu, 29.9 peratus membabitkan golongan pesakit berusia 60 hingga 69 tahun, diikuti 20.6 peratus (70 hingga 79 tahun dan 14 peratus bagi pesakit berusia 80 tahun ke atas,” katanya.
KKM berkata, kematian melibatkan warga emas berusia 50 hingga 59 pula adalah 20 peratus, manakala individu berusia 40 hingga 49 adalah 7.2 peratus.
“Golongan dewasa berusia antara 30 hingga 39 tahun dilaporkan meninggal dunia pada kadar 4.5 peratus, manakala individu bawah 30 tahun pula adalah 3.9 peratus,” katanya.
Sementara itu, KKM berkata, sebanyak 87 peratus kematian yang dilaporkan mempunyai sekurang-kurangnya satu masalah kesihatan.
Menurutnya, daripada lapan masalah kesihatan, penyakit darah tinggi merupakan penyumbang terbesar kepada kematian pesakit Covid-19 dengan 61.4 peratus.
“Penyakit diabetes berada di tangga kedua dengan 41.3 peratus, diikuti penyakit jantung (24.1 peratus), kolesterol tinggi (19.1 peratus) dan penyakit buah pinggang (14.9 peratus).
“Penyakit paru-paru pula menyumbang kepada 10.6 peratus kematian, manakala kanser dan penyakit hati masing-masing 4.6 serta 1.7 peratus,” katanya.
Sebagai rekod, jumlah kes kematian Covid-19 di Malaysia adalah sebanyak 335 setakat semalam. -K! ONLINE