fbpx

Dua pegawai akademi latihan UPNM didakwa pecah amanah RM920,000

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tertuduh Leftenen Kolonel Azman (tengah) keluar dari Mahkamah Sesyen di sini hari ini.

KUALA LUMPUR – Dua pegawai Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini masing-masing atas empat pertuduhan pecah amanah dan salah guna harta berhubung skim pelaburan yang tidak wujud berjumlah RM920,000 empat tahun lalu.

Kedua-dua tertuduh iaitu, Pengarah akademi, Leftenan Kolonel Azman Mohamed Yasin, 57, dan bekas komandan akademi, Brigadier Jeneral (B) Datuk Mohamad Adkaa Solahuddin, 63, membuat pengakuan tidak bersalah itu selepas kesemua pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Mahyon Talib.

Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, mereka yang semasa kejadian masing-masing merupakan pengarah dan komandan di Akademi Latihan Ketenteraan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) didakwa telah melakukan pecah amanah dengan cara meluluskan pembayaran berjumlah RM500,000 dan RM420,000 milik Tabung Kebajikan Akademi untuk pelaburan melalui institusi kewangan tidak berdaftar dan tidak sah.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di akademi tersebut di UPNM, Kem Perdana Sungai Besi, di sini, antara 3 Ogos dan 23 September 2016 mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan dan denda, jika sabit kesalahan.

Mereka juga turut mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan pilihan iaitu menyalahgunakan harta kepunyaan Tabung Kebajikan Akademi masing-masing RM500,000 dan RM420,000 pada tempat dan tarikh sama, mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun dan sebatan dan denda, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Nur Shafini Mustafha menawarkan jaminan RM100,000 bagi kesemua pertuduhan terhadap kedua-dua tertuduh dengan seorang penjamin, berserta syarat tambahan pasport diserahkan kepada mahkamah selain melaporkan diri di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang berdekatan setiap bulan sehingga kes selesai.

“Jumlah jaminan RM100,000 yang ditawarkan adalah munasabah kerana melibatkan kesemua pertuduhan yang dihadapi tertuduh selain kesalahan yang dilakukan tertuduh serius,” katanya.

Bagaimanapun, Azman yang diwakili peguam Mohd. Amir Aizat Abdul Rani memohon jaminan rendah atas alasan anak guamnya tidak mempunyai sumber pendapatan lain selain gaji yang diperoleh sebagai pengarah akademi tersebut dan turut mempunyai tanggungan isteri serta empat anaknya.

“Beliau juga sedang dibicarakan di Mahkamah Tentera berkaitan pertuduhan hari ini. Saya mohon jaminan rendah,” katanya.

Sementara tertuduh Mohamad Adkaa yang diwakili peguam Nur Asyikin Zakaria memohon jaminan dibayar secara berkala sebelum atau pada 7 Disember kerana anak guamnya hanya mampu membayar RM15,000 pada hari ini dan menggunakan wang pencen untuk meneruskan kehidupan.

“Anak guam saya mengalami penyakit jantung lemah dan masih mendapatkan rawatan di Institut Jantung Negara (IJN) ketika ini. Beliau juga tidak pernah gagal melaporkan diri di pejabat SPRM sejak disiasat pada Februari tahun ini,” katanya.

Selepas mendengar permohonan kedua-dua belah pihak, mahkamah membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin RM80,000 setiap seorang dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan pasport diserahkan kepada mahkamah dan melaporkan diri setiap 1 haribulan di pejabat SPRM berdekatan.

Pada masa sama, Mahyon turut membenarkan permohonan Mohd. Adkaa untuk membayar baki jaminan pada atau sebelum 7 Disember ini.

Tarikh 22 Disember depan ditetapkan sebagai sebutan semula kes.K!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI