RENNES, Perancis – Seorang lelaki di rantau Brittany, barat laut Perancis didenda oleh polis dan berdepan tindakan undang-undang seterusnya selepas melanggar perintah berkurung koronavirus dengan memberi penjelasan bertulis bahawa dia keluar kerana ingin menumbuk muka seseorang.
Semua orang di Perancis yang ingin keluar rumah atas sebarang alasan semasa perintah berkurung bagi membendung penularan koronavirus, mesti memuat turun dan mengisi borang dengan mengystiharkan alasan mereka berbuat demikian.
Polis bandar Lannion berkata, anggota peronda menemui lelaki berumur 39 tahun itu menyelinap di belakang sebuah kereta awal pagi Sabtu lalu dan menyoalnya.
“Lelaki itu berkata bahawa dia sedang menunggu untuk menumbuk muka seseorang dan didapati membawa pisau lipat.
“Dia menulis borang keluar rumah menggunakan nama sebenar dan masa dia keluar rumah adalah pukul 10.15 malam (waktu tempatan). Bagaimanapun, kami memberitahunya bahawa alasan mahu membelasah seseorang tidak boleh diterima,” kata komander polis tempatan, Daniel Kerdraon.
Lelaki itu yang mengambil minuman beralkohol, ditahan semalaman dan dibebaskan pagi Sabtu lalu. Dia didenda €135 (RM657) kerana melanggar peraturan perintah berkurung dan €150 (RM730) lagi kerana berkelakuan mabuk.
Lelaki itu disoal siasat sekali lagi semalam kerana membawa senjata. – AFP