fbpx

Alat pemadam api dipercayai diusik sebelum meletup

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SAYANI (tengah) memeriksa kawasan rumah yang berlaku kejadian letupan alat pemadam api di Sungai Petani semalam.

SUNGAI PETANI – Bomba tidak menolak kemungkinan alat pemadam api kereta yang meletup sehingga mengakibatkan seorang peniaga maut di Bandar Puteri Jaya di sini semalam telah diusik atau cuba diubah suai.

Dalam kejadian kira-kira pukul 1.15 tengah hari itu, mangsa, Mohamad Yusri Omar, 43, ditemui berlumuran darah akibat kecederaan pada kaki, paha dan lengan kiri.

Mangsa disahkan meninggal dunia ketika dirawat di zon kuning Hospital Sultan Abdul Halim di sini.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penolong Kanan Pesuruhjaya Bomba Sayani Saidon berkata, setakat ini pihaknya belum mengenal pasti punca sebenar letupan tersebut.

“Siasatan pasukan forensik bomba lebih menjurus kepada kemungkinan alat pemadam api berkenaan telah diusik atau cuba diubah suai,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian hari ini.

Beliau berkata, alat pemadam api direka sebagai alat yang selamat untuk disimpan di dalam kereta serta tidak mudah meletup dengan suhu panas biasa di negara ini.

“Kita juga difahamkan ketika kejadian, kawasan di sini hujan, jadi suhu panas terlampau bukan menjadi penyebab alat pemadam api itu meletup,” jelasnya.

Menurutnya, bagaimanapun siasatan masih dijalankan dan pihaknya belum dapat mengesahkan punca sebenar letupan berlaku.

“Pihak kami menasihatkan orang awam supaya tidak panik atau takut untuk menyimpan alat pemadam api di dalam kereta kerana ia diuji selamat melainkan jika strukturnya diganggu atau diubah suai.

“Tiada masalah untuk menyimpan alat pemadam api di dalam kereta, tetapi pastikan ia diletak di tempat yang mudah diambil dan tidak mengganggu pemandu,” katanya.

Sementara itu, isteri mangsa, Rosnaida Mat Ali, 38, berkata, dia tidak tahu sejak bila alat pemadam api berada di situ kerana jarang masuk ke kawasan garaj tempat suaminya membaiki barangan terpakai.

“Arwah ambil upah membaiki barangan terpakai selain berniaga nasi lemak pada waktu pagi bersama saya,” katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah di Alor Setar hari ini.

Menurutnya, arwah merupakan seorang bapa yang penyayang dan sangat rapat dengan anak-anak.

“Dia seorang suami yang baik dan banyak menolong saya dalam menguruskan anak-anak kami yang masih kecil,” ujarnya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI