KUALA LUMPUR – Sebanyak 24,290 rumah telah didaftarkan dibawah Program Rumah Bebas Tanpa Amalan Merokok bagi melindungi golongan remaja daripada bahaya asap rokok sekunder setakat ini.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd. Harun berkata, kerajaan akan memperluaskan lagi program itu ke seluruh negara.
“Kempen bebas asap rokok sekunder akan digiatkan lagi dengan kerjasama badan bukan kerajaan (NGO). Ia sebagai usaha mengelak remaja menjadi mangsa aktiviti berkaitan tembakau.
“Sebagai ibu bapa, saya ingatkan, jika kita merokok (di rumah), yang terkesan ialah anak-anak kita,” katanya semasa menjawab soalan tambahan Fuziah Salleh (Kuantan-PKR) pada sidang Dewan Rakyat hari ini.
Fuziah bertanyakan tentang status kerjasama dengan Kementerian Kesihatan untuk menangani gejala asap rokok sekunder oleh ibu bapa yang merokok.
Rina berkata, matlamat Program Rumah Bebas Tanpa Amalan Merokok adalah menjadikan remaja sihat tanpa amalan merokok, sekaligus menjadi ejen perubahan tingkah laku kepada ibu bapa.
Menurut beliau, selain terdedah dengan asap rokok di luar rumah, remaja juga berdepan dengan gejala itu di rumah yang mana ibu atau bapa mereka merokok.
Justeru, katanya, beliau mengalu-alukan sebarang cadangan dari Ahli Parlimen bagi menjayakan usaha mengekang remaja dari terdedah asap rokok sekunder.
“Buat masa ini, belum ada sebarang insentif diberikan tetapi langkah yang kita ambil ialah memperluaskan program rumah bebas tanpa asap rokok,” katanya. – K! ONLINE