LEICESTER – Leicester City menerima perkhabaran gembira apabila beberapa pemain utamanya yang berdepan kecederaan semakin pulih ketika mereka dijadual bertemu Liverpool awal pagi esok.
Pengendalinya, Brendan Rodgers memberitahu, beberapa pemain seperti Ricardo, Wilfred Ndidi, Timothy Castagne dan Caglar Soyuncu sudah kembali menjalani latihan bersama pasukan sepanjang minggu ini selepas pulih daripada kecederaan.
“Ricardo sudah menjalani bersama skuad ini, ia adalah berita yang baik kerana dia beraksi bersama skuad simpanan sepanjang minggu lalu dan perkembangannya juga memberangsangkan.
“Castagne juga sudah kembali termasuk Wesley Fofana yang berdepan isu kesakitan pada lutut ketika bersama Perancis sebelum ini berada dalam keadaan baik.
“Cuma, Ndidi dan Soyuncu mungkin memerlukan sedikit masa lagi untuk benar-benar cergas tetapi perkembangan mereka membuatkan kami semua gembira kerana para pemain utama akan kembali bersama pasukan ini,” jelasnya.
Biarpun sedar peluang menewaskan Liverpool agak cerah ketika pasukan itu kehilangan beberapa pemain penting, Rodgers tidak mahu perkara itu membuatkan para pemainnya mengambil mudah aksi berkenaan.
“Mereka mempunyai pemain yang berkelas dunia. Pemain utama dan simpanan mempunyai kualiti yang hampir sama.
“Mereka masih sebuah pasukan yang kuat dan saya menjangkakan satu aksi yang sukar terpaksa kami hadapi. Mereka mampu untuk membuatkan anda pulang dengan kecewa,” jelasnya.
Perkembangan yang paling menggembirakan Rodgers adalah prestasi penggempur utamanya, Jamie Vardy yang berada dalam keadaan terbaik terutama dalam aspek kecergasan.
“Vardy tidak menyertai aksi antarabangsa, itu membolehkannya berada dalam keadaan segar dan mendapat rehat secukupnya untuk memburu gol pada perlawanan itu nanti,” ujarnya. – AGENSI