SEGAMAT – Pengunjung dan peniaga pasar malam Batu Anam, di sini lari bertempiaran selepas hujan lebat diikuti ribut melanda kawasan itu petang tadi.
Kejadian ribut yang berlaku kira-kira pukul 6 petang itu merosakkan hampir ke semua gerai perniagaan di pasar malam apabila khemah jualan roboh ditiup angin.
Salah seorang pengunjung Siti Aisyah Mokhtar, 36, berkata, kejadian berlaku ketika dia sedang membeli makanan di salah sebuah gerai di pasar malam berkenaan.
“Hujan lebat secara tiba-tiba disertai angin kencang melanda kawasan itu selain petir dan guruh.
“Saya dan beberapa pengunjung lain berlindung di bawah khemah peniaga tetapi apabila angin mula bertiup kencang, kami bertempiaran lari,”katanya.
Sementara itu, seorang peniaga, Naim Abu Bakar, 37, berkata, dia bagaimanapun reda dengan kejadian itu selain terpaksa menanggung kerugian apabila jualan seperti pakaian, makanan serta barang keperluan harian rosak.
“Kami anggap dugaan Allah kerana baharu ingin mengumpulkan duit terjejas pendapatan dengan Perintah Kawalan Pergerakkan Diperketatkan (PKPD) beberapa bulan lalu,”katanya.
Naim berkata, mereka bersyukur kerana tidak ada yang tercedera dalam kejadian itu.- K! ONLINE