PETALING JAYA – Polis sudah mengenal pasti identiti seorang lelaki yang menjadi mangsa pembunuhan kejam di Jalan Bangsar, Kuala Lumpur pada Khamis lalu.
Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Anuar Omar berkata, mangsa warga Pakistan yang berusia 25 tahun itu dikenal pasti selepas bekas isterinya tampil membuat pengecaman.
Katanya, wanita tempatan berusia 31 tahun itu tampil ke Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields semalam pada pukul 4.30 petang bagi memaklumkan perkara tersebut.
Hadir sama, seorang lelaki warga Pakistan yang mendakwa rakan kepada si mati.
“Berdasarkan keterangan wanita itu mendakwa telah bercerai dengan mangsa pada Oktober lalu selepas hampir tiga tahun mendirikan rumahtangga.
“Kedua-dua saksi melakukan pengecaman berdasarkan gambar dan pakaian mangsa, namun pengecaman tubuh akan dilakukan esok di Jabatan Patalogi Forensik Pusat Perubatan Universiti Malaya,” katanya kepada Kosmo! hari ini.
Menurutnya lagi, mangsa pernah menjalankan perniagaan menjual minyak wangi bersama bekas isterinya, namun selepas bercerai dia dikatakan sudah tidak bekerja.
“Semakan dengan pihak imigresen mendapati pasport mangsa sah sehingga Februari depan.
“Motif kejadian masih dalam siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” ujarnya. – K! ONLINE