Misteri yang masih belum terungkap, namun, aura seram Bukit Sembilan, Rembau, Negeri Sembilan atau lebih dikenali penduduk dengan nama Bukit Milan sebagai sebuah perkampungan bunian masih dirasai hingga kini.
Bukit setinggi 45 meter dari aras laut itu terletak di sebuah perkampungan di Chengkau dan di bawah kawasan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Lada.
Bahkan, menghampiri batu berdinding yang ada di Bukit Milan menyebabkan bulu roma pengunjung meremang sehingga tiada siapa yang sanggup datang ke sana secara berseorangan.
Batu berdinding Bukit Milan berkenaan sebelum ini selebar lebih enam meter dan setinggi hampir tiga meter, namun, ianya semakin mengecil.
Cerita perkampungan berkenaan masih kekal misteri hingga hari ini dan siapa yang tidak bernasib baik pasti ‘ditegur’ sesuatu.
Bagi seorang penduduk yang hanya ingin dikenali sebagai Aminah, 70-an, seawal menetap berhampiran Bukit Milan satu ketika dahulu, banyak barangan di rumahnya sering ‘dipinjam’ dipercayai oleh penduduk di perkampungan bunian di kawasan itu.
“Kebanyakan yang dipinjam adalah baju. Ada juga songkok dan kunci. Awal-awal ia berlaku, saja tak percaya. Namun, sekitar seminggu dua selepas barangan berkenaan hilang, ia diletakkan kembali di tempat asal.
“Pelik juga bagaimana boleh ada di tempat asal sebab memang sudah beberapa kali dicari, tapi tak jumpa. Bila dah kerap berlaku dah boleh agak dan hanya boleh cakap nanti pulangkan balik sahaja,” katanya.
Bagaimanapun menurutnya, kejadian seumpama itu sudah lama tidak dan dia sekeluarga berasa lega kerana tidak perlu lagi berhadapan kejadian misteri seperti itu.
Tidak terhenti di situ, kisah lain mengenai perkambungan bunian Bukit Milan terus menjadi bualan penduduk sejak dahulu.
Menurut bekas ketua Kampung Lada, Abd. Latip Alias, kediaman keluarganya dahulu iaitu di Kampung Batu Puteh terletak kira-kira 500 meter dari batu berdinding Bukit Milan.
“Cerita orang tua dahulu sekitar tahun 1960-an, Bukit Milan adalah perkampungan bunian. Saya pun masih kecil lagi dalam usia 10 tahun.
“Ada bomoh wanita dari kampung berdekatan membawa rombongan hampir 10 orang majoritinya wanita berjalan kaki melalui kawasan rumah saya untuk ke bukit berdinding Bukit Milan,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Abd. Latip berkata, ibunya menyatakan kepadanya rombongan itu membawa pelbagai barangan antaranya pinggan mangkuk dan harta karun dari perkampungan bunian di kawasan tersebut.
“Mereka kemudian balik membawa barang yang telah dibungkus dengan kain dan dijunjung di atas kepala.
Tak tahu apa barangnya sebab mereka tak cakap dan hanya terdengar mak cakap ambil barang-barang di perkampungan bunian sahaja,” katanya.
Malah menurutnya, di kaki Bukit Milan berkenaan juga terdapat telaga air panas yang tidak pernah kering sewaktu masa dahulu walaupun pada musim kemarau.
“Orang kampung akan menggunakan air berkenaan untuk mandi dan minum,” katanya.
Sementara itu, seorang lagi penduduk Kampung Lada, Musa Ujang, 70, berkata, Bukit Milan berkenaan juga pernah menjadi tumpuan oleh beberapa dukun dari kampung berdekatan suatu ketika dahulu.
“Bila masa padi nak menguning masak dalam 20 orang penduduk akan datang dan membawa pulut, telur, serta ayam hitam untuk dilepaskan di situ,” katanya.
Menurut pesara polis berkenaan, amalan berkenaan diteruskan sehingga sekitar tahun 1963 dan kemudian terhenti kerana amalan berkenaan merupakan kepercayaan khurafat.
“Lama juga penduduk buat begitu.kepercayaan orang dahulu. Nak jadikan cerita, padi mereka juga menjadi,” katanya.
Menurutnya lagi, dia juga mengingati sekitar tahun 1980-an, pemilik tanah yang ada telaga air panas pernah bertembung dengan tiga wanita muda mandi di situ pada pukul 11.00 pagi.
Menurutnya, pemilik yang dikenali sebagai Cikgu Hasan itu bertanyakan kepada ketiga-tiga wanita terbabit tentang arah tuju kerana tidak pernah melihat mereka sebelum itu.
“Wanita berkenaan hanya menjawab ringkas iaitu dari Bukit Milan hendak pergi ke Gunung Datuk.
“Tidak lama lepas itu, ketiga-tiga wanita muda itu hilang begitu sahaja di kolam air panas,” katanya.
————————————————————————————————————————————————————————————————————————————–Artikel ini diambil daripada kepercayaan masyarakat di sesuatu tempat sejak zaman-berzaman bertujuan untuk pendidikan dan bukan menggalakkan kepercayaan karut atau tahyul.