PETALING JAYA – Penyanyi Naim Daniel mengambil tanggungjawab melakukan ujian saringan Covid-19 sebentar tadi selepas mengetahui Alif Satar disahkan positif virus itu hari ini.
Naim, 23, menerusi Instagram berkongsi sebuah video dia melakukan ujian itu secara pandu lalu di Pusat Perubatan Management & Science University (MSU), Shah Alam, Selangor.
“Salam. Setelah mendapat perkhabaran tentang abang saya, Alif Satar, saya bergegas ke hospital MSU untuk melakukan ujian saringan ke atas diri sendiri.
“Insya-Allah keputusan akan diperoleh dalam tempoh 24 jam. Ini merupakan kali kedua saya melakukan ujian. Kali pertama pada 23 Oktober lalu atas urusan kerja.
“Sama-sama kita mendoakan agar semuanya baik-baik sahaja, Insya-Allah,” tulisnya.
Pada hantara itu, Alif turut meninggalkan komen dengan berharap Naim berada dalam keadaan yang baik-baik sahaja.
“Harap semuanya baik sahaja adikku,” tulis Alif.
Sebentar tadi, Alif mendedahkan dirinya disahkan positif Covid-19 selepas melakukan ujian terbaharu.
Alif merupakan salah seorang penyanyi yang bertanding pada pentas Separuh Akhir Muzik-muzik ke-35 (SAMM35) pada Jumaat lalu.
Sementara Naim pula bertanding untuk dua hari berturut-turut iaitu pada Jumaat dan Sabtu. – K! ONLINE