PETALING JAYA- Polis menahan seramai 381 individu semalam atas pelbagai kesalahan ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 377 individu telah dikompaun manakala empat individu pula direman.
“Antara kesalahan ingkar arahan PKP termasuk aktiviti pusat hiburan (96), tidak memakai pelitup muka (80), gagal mematuhi arahan penjarakan fizikal (69), gagal menyediakan peralatan merekod butiran pelanggan (57), rentas negeri tanpa kebenaran (33) dan lain-lain (46),” katanya menerusi satu kenyataan di sini tadi.
Dalam perkembangan berkaitan, Ismail berkata, sebanyak 57,448 pemeriksaan dilaksanakan polis bagi memantau dan menguatkuasa pematuhan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).
“Sebanyak 2,569 pasukan pematuhan melibatkan 12,387 anggota telah membuat pemantauan di pasar raya (3,617), restoran (4,858), penjaja (1,637), kilang (1,224), bank (3,356) dan pejabat kerajaan (471).
“Turut dipantau sebanyak 987 terminal pengangkutan darat, 268 terminal pengangkutan air serta 115 terminal pengangkutan udara,” jelasnya. – K! ONLINE