fbpx

Toyota Voxy dianggap ‘adik’ Vellfire

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MODEL berwarna putih ini pasti menarik perhatian ramai kerana reka bentuknya yang agak berlainan daripada kenderaan lain.

Oleh AFIFI HAFIZ MOHD NOR

SEJAK kebelakangan ini model Toyota Voxy kerap kali kelihatan di atas jalan raya di negara ini.

Adakah pengedar Toyota di negara ini, UMW Toyota Motor sudah membawa masuk model MPV itu? Jawapannya tidak!

Toyota Voxy itu telah dibawa masuk secara sah oleh pengimport kenderaan atau grey importer dan dijual sebagai kenderaan ‘recond’.

Suatu ketika dahulu model-model rekaan kotak selalunya tidak mendapat tempat di hati pembeli kerana dianggap mesin basuh dan peti ais.

Namun, siapa sangka pada zaman sekarang model rekaan kotak boleh dikatakan laris seperti Vellfire, Alphard dari Toyota dan Nissan Serena.

RUPA bentuk dan ruang pemandu yang selesa dengan butang kawalan di stereng memudahkan pemanduan.- IZZAT TERMIZIE

Rekaan kotak jika kita lihat sebenarnya memberikan ruang dalaman yang maksimum. Contohnya penulis dengan ketinggian 175 sentimeter boleh duduk selesa pada barisan ketiga.

Model ini boleh dipertimbangkan sebagai pilihan kepada pembeli yang kekurangan bajet untuk memiliki Toyota Alphard atau Vellfire.

Jika mereka yang kurang arif memandang dari hadapan, mesti ingatkan model ini merupakan Vellfire kerana konsep lampu depan terpisahnya kelihatan hampir sama.

Model ini diperkenalkan pada tahun 2001 hingga tahun 2007. Pada tahun 2007, Toyota memperkenalkan generasi keduanya. Generasi ketiga pula dilancarkan pada tahun 2014.

Nama lain bagi Voxy ialah Noah. Pesaing terdekat Voxy ialah Nissan Serena, Mazda Biante dan Honda Stepwagon.

Penulis difahamkan ruang tempat duduk Voxy ada dua pilihan iaitu tujuh atau lapan tempat duduk dengan tona warna gelap.

Ada beberapa pilihan varian ditawarkan seperti X, V, ZS, ZS Kirameki dan GS. Spesifikasi untuk kenderaan import terpakai bergantung kepada model yang dibawa masuk.

Sebagai contoh ada antaranya model asas tetapi mempunyai push start button dan sunroof.

TOYOTA Voxy menggunakan rim bersaiz 16 inci.

Terima kasih kepada syarikat pengimport kenderaan Proxima Motors (M) Sdn. Bhd. kerana memberi pinjam sebuah unit Toyota Voxy pada minggu lalu kepada penulis bagi sesi fotografi.

Model yang kami paparkan ini daripada varian 2.0 ZS Kirameki dengan tujuh tempat duduk. Toyota Voxy berwarna putih ini menggunakan enjin 2.0 liter dengan kotak gear CVT.

Bahagian luarannya hadir dengan bampar hadapan dan belakang serta skirting yang sporty.

Kemasan krom di sekeliling Toyota Voxy ini memberikan imej premium walaupun rekaannya agak berciri kotak.

Menggunakan rim bersaiz 16 inci dengan tayar 205/45, ia melengkapkan lagi rupa paras MPV ini.

Masuk ke ruang dalamnya, Toyota Voxy ini hadir dengan dua pintu gelongsor berkuasa elektrik (power door). Ia mempunyai ruang kokpit pemandu, stereng dengan butang kawalan audio serta kawalan meter paparan maklumat.

Antara ciri menarik untuk pemandu ialah butang hidup enjin, butang mod eco dan lampu tinggi automatik (auto highbeam).

Sistem hiburannya berskrin sentuh dan dilengkapi monitor bumbung untuk memberi penumpang bahagian belakang menonton cerita kegemaran.

Terdapat penghawa dingin digital dual zone pada bahagian hadapan kereta dan butang kawalan penghawa dingin pada bahagian belakang.

Tujuh tempat duduknya menggunakan material fabrik dua tona berwarna gelap.

Istimewa juga konfigurasi tempat duduknya boleh dilaraskan mengikut kesesuaian dan keselesaan.

Berdasarkan pemerhatian penulis di beberapa web, Toyota Voxy terpakai yang diimport dari Jepun ini dijual pada harga antara RM120,000 hingga RM170,000 di negara ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI