PETALING JAYA – Teka-teki pengganti penyanyi lagu Aku Bidadari Syurgamu dendangan asal oleh Datuk Seri Siti Nurhaliza pada pentas Separuh Akhir Muzik-Muzik ke-35 (SFMM35) akhirnya terjawab selepas nama penyanyi legenda, Aishah diumumkan sebelum membuat persembahan sebentar tadi.
Dalam siaran langsung SFMM35 yang diadakan dari Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral, Shah Alam, Selangor itu, Aishah yang popular menerusi lagu Janji Manismu telah dipilih untuk mendendangkan lagu tema untuk drama 7 Hari Mencintaiku 2 tersebut.
Dalam pada itu, Siti Nurhaliza dalam satu hantaran Instagramnya sebentar tadi berkata, pihaknya tidak mempunyai niat untuk merahsiakan perkara tersebut.
“Tidak ada niat menyembunyikan atau berteka-teki tetapi semuanya sudah dipersetujui terutama ketika pihak label dan Ippo Hafiz belum lagi dapat menamakan atau mendapatkan penyanyi untuk lagu ini.
“Banyak proses dilalui dan Alhamdulillah, semuanya dipermudahkan dan Kak Aishah tampil malam ini,” tulisnya.
Siti turut mengucapkan terima kasih kepada pelantun lagu Camar Yang Pulang kerana sudi menjadi penggantinya sebentar tadi.
“Terima kasih Kak Aishah sebelum ini saya yang menyanyikan lagu beliau dalam persembahan masa saya belum menjadi artis, kemudian saya sampaikan lagu Camar Yang Pulang sewaktu bertanding Bintang Hiburam Minggu Ini 1995.
“Hari ini, satu penghormatan buat saya apabila beliau menyanyikan lagu saya. Selamat berjaya Kak Aishah!,” katanya lagi.
Sejak beberapa hari lalu, timbul spekulasi yang mengatakan bahawa lagu ciptaan komposer dan penyanyi, Ippo Hafiz dan lirik oleh Siti Rosmizah itu bakal didendangkan oleh penyanyi Liza Hanim.
Bagaimanapun, penyanyi bersuara lantang itu menafikan dakwaan tersebut menerusi status yang dimuat naik dalam akaun Instagramnya hari ini.
Selain lagu Aku Bidadari Syurgamu, sebuah lagi lagu nyanyian Siti yang berjudul 7 Nasihat, ciptaan Luca Sickta dan Kmy Kmo turut dipertandingan pada hari ini dan telah disampaikan oleh Shiha Zikir.
Pada tahun lalu, penyanyi Bob Yusof telah menggantikan Siti untuk menyampaikan lagu Anta Permana pada Separuh Akhir Muzik-Muzik ke-34 (SFMM34).
Lagu ciptaan Hael Husaini dan Ezra Kong itu berjaya mendapat tempat ketiga pada Anugerah Juara Lagu ke-34 (AJL34).
Siti bagaimanapun membuat kemunculan istimewa pada malam tersebut untuk bernyanyi bersama Bob selepas kali terakhir penyanyi itu beraksi di pentas AJL22 pada tahun 2007 menerusi lagu Destinasi Cinta. – K! ONLINE