PETALING JAYA – Polis menahan seorang lelaki warga tempatan yang terlibat dalam kes amang seksual fizikal terhadap kanak-kanak perempuan di sini semalam.
Suspek berjaya ditahan setelah ibu saudara kanak-kanak tersebut bersama suaminya membawa suspek ke Balai Polis Petaling Jaya.
Timbalan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Superintendan Ku Mashariman Ku Mahmood berkata, pada 3 November lalu kira-kira pukul 12 tengahari, suspek melakukan perbuatan tersebut di kawasan Desa Mentari di sini.
“Mangsa merupakan seorang kanak-kanak perempuan berusia sembilan tahun dan berseorangan di rumahnya.
“Suspek berusia 45 tahun merupakan suami kepada pengasuh mangsa, pergi ke rumah mangsa dan meminta untuk masuk ke dalam dengan alasan ingin memulangkan kembali pelitup muka milik kanak-kanak itu,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Tambahnya, semasa berada di dalam rumah, suspek memanggil mangsa untuk duduk di sebelahnya lalu mencabulnya di bahagian badan mengakibatkan mangsa menjerit berkali-kali dan suspek terus melarikan diri.
“Kanak-kanak perempuan terbabit kemudian menghubungi ibu saudaranya dan memberitahu tentang kejadian yang menimpa dirinya,” ujarnya.
Jelasnya, pukul 9 malam semalam ibu saudaranya yang juga pengadu serta suaminya terserempak dengan suspek yang baru pulang dari kerja.
“Suaminya memanggil suspek tetapi dia (suspek) cuba melarikan diri namun tidak berjaya dan berlaku satu pergelutan antara mereka.
“Namun selepas itu, suspek berjaya ditahan dan dibawa ke pihak berkuasa untuk siasatan lanjut,” katanya.
Tambahnya, suspek ditahan reman selama tujuh hari dan disiasat di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (AKSK) 2017. – K! ONLINE