LONDON – Penyerang sensasi Tottenham Hotspur, Harry Kane percaya kecemerlangan pasukan untuk berada di kedudukan kedua Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini adalah berpunca daripada sentuhan ‘emas’ pengurus, Jose Mourinho.
Bagaimanapun, Spurs yang telah mencatat lima kemenangan dalam lapan perlawanan musim ini bakal berdepan tugas getir apabila dijadualkan bertemu dengan pasukan gergasi, Manchester City di laman sendiri awal pagi esok.
Kata Kane, pertemuan menentang skuad The Citizens bakal memberi cabaran terbaik buat pasukan dalam membuktikan bahawa mereka serius untuk merebut gelaran liga musim ini selepas tampil cemerlang sejak dua bulan lalu.
“Kami telah beraksi dengan baik pada saingan musim ini tetapi musim baru sahaja bermula. Pasukan tidak boleh mendabik dada tetapi saya rasa langkah yang kami lakukan ketika ini adalah yang terbaik sejak beberapa musim lepas.
“Secara jujur, saya tidak terkejut dengan prestasi semasa kerana kami telah dibimbing oleh jurulatih yang memiliki karisma dan mentaliti juara seperti Mourinho. Dia mempunyai aura tersendiri di atas padang dalam memastikan pasukan mencatat kemenangan walaupun tidak beraksi dengan baik.
“Buat masa ini, saya tidak mahu pemain terlalu memikirkan potensi menamatkan kemarau trofi tetapi lebih baik memikirkan satu perlawanan ke satu perlawanan dan fokus utama ketika ini adalah aksi menentang City.
“Justeru, saya mahu barisan pemain memberikan tumpuan penuh kerana City adalah pasukan yang cukup berkualiti walaupun prestasi mereka sebelum ini di pentas liga tidak menentu dan kami tidak boleh memandang rendah,” katanya. – AGENSI