fbpx

Semput harung tiga kali banjir dalam dua minggu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) membantu memindahkan mangsa di Kampung Gadek Dalam, Alor Gajah hari ini.

ALOR GAJAH – “Lebih lima kali kami terpaksa naik dan turunkan barang-barang di dalam rumah, belum habis kemas, air coklat masuk semula sehingga ke paras pinggang,” keluh Saani Jantan, 62, antara mangsa yang terlibat dalam bencana banjir di Kampung Gadek, di sini.

Katanya, dalam tempoh dua minggu sahaja, rumahnya telah dilanda banjir sebanyak tiga kali dan terpaksa berhempas pulas membersihkan lumpur yang melekat di lantai dan dinding.

“Semalam air naik sehingga paras pinggang, jadi kami hanya duduk di rumah, namun bekalan makanan pula terputus.

“Pukul dua tadi saya terpaksa menelefon anak saya yang tinggal di Krubong untuk menghantar makanan,” katanya ketika ditemui di rumahnya, hari ini.

Mengulas lanjut, Saani memberitahu, dia dan suami Md. Nasir Ibrahim, 81, tidak berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) kerana kedua-dua mereka menghidapi masalah sakit lutut dan sukar untuk bergerak.

Sementara itu, Halimah Md. Salleh, 62, ketika ditemui di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Tehel, Jasin meluahkan perkara sama malah lebih menyedihkan, kesemua pakaiannya tidak dalam diselamatkan.

“Mak cik ingatkan banjir sudah habis, tidak sangka pula air akan naik semula, habis semua baju, tilam dan katil rosak kerana tidak sempat diselamatkan,” katanya yang tinggal di Kampung Serompong, Jasin.

Terdahulu, setakat pukul 6 petang tadi, seramai 167 mangsa banjir daripada 42 keluarga dari dua daerah masih ditempatkan di tiga buah pusat pemindahan sementara (PPS) yang dibuka di negeri ini.

Daripada jumlah itu, Jasin mencatat bilangan mangsa paling tinggi iaitu seramai 123 orang daripada 29 keluarga. Mangsa banjir kini ditempatkan di PPS SK Tehel.

Sebuah lagi PPS di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Shuh Yen, turut dibuka pada pukul 4 petang tadi dan jumlah mangsa masih dalam proses pendaftaran.

Sementara itu, di Alor Gajah, dua PPS dibuka iaitu di SK Durian Tunggal dan SK Ganun, yang baru dibuka pukul lima tadi manakala di Melaka Tengah, PPS di buka di SK Ayer Molek.-K!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI