fbpx

Remaja perempuan 16 tahun maut akibat rabies

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Noor Hisham

PUTRAJAYA – Satu lagi kes kematian akibat jangkitan rabies dilaporkan pada 11 November lalu membabitkan seorang remaja perempuan berusia 16 tahun di Sarawak.

Kematian itu menjadikan jumlah kematian manusia akibat rabies di Sarawak meningkat kepada enam orang sejak wabak itu mula dikesan pada Julai 2017.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, mangsa dimasukkan  ke Hospital Umum Sarawak pada 10 November lalu kerana demam, lemah pada bahagian anggota bawah badan dan menunjukkan tingkah laku agresif.

Beliau berkata, mangsa turut mengalami aerofobia dan hidrofobia sebelum disahkan meninggal dunia pada 11 November lalu.

“Siasatan mendapati tiada sebarang sejarah gigitan anjing atau haiwan lain berlaku kepada kes ini.

“Mangsa hanya mempunyai kesan cakaran yang telah sembuh di kaki kanan tetapi ahli keluarganya tidak dapat memberi perincian mengenainya.

“Mangsa juga ada memelihara empat ekor kucing dan seekor anjing. Kesemua haiwan peliharaan itu tidak pernah mendapat vaksinasi namun sehingga kini, haiwan peliharaan tersebut dalam keadaan sihat dan tiada perubahan tingkah laku,” katanya dalam kenyataan akhbar hari ini.

Katanya, mangsa disahkan dijangkiti virus rabies pada 12 November lalu melalui ujian makmal yang dijalankan oleh Institut Penyelidikan Perubatan (IMR).

Noor Hisham berkata, kematian akibat jangkitan rabies dapat dielakkan dengan mengambil langkah-langkah pencegahan.

Menurutnya, Kementerian Kesihatan (KKM) dan Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Sarawak akan terus memantau situasi rabies di Sarawak.

“Malah, KKM dan JKN Sarawak juga dan akan berkongsi maklumat terkini berkaitan wabak itu dengan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) Sarawak dan DVS Malaysia bagi memastikan tindakan pencegahan dan kawalan rabies dilaksanakan dengan segara dan komprehesif.

“Kerjasama semua rakyat Sarawak amat diperlukan, dengan mematuhi semua nasihat kerajaan dan pihak berkuasa bagi memastikan masalah rabies di negeri ini dapat dikawal,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI