fbpx

Orang Gua Musang sokong pelaksanaan PKPB

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Penduduk Gua Musang menyokong keputusan kerajaan yang melaksanakan PKPB bermula hari ini atas faktor keselamatan masyarakat di Kelantan.

GUA MUSANG – Rata-rata penduduk Gua Musang menyokong penuh keputusan kerajaan untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bermula hari ini atas faktor keselamatan rakyat negeri ini.

Ini kerana, kedudukan daerah Gua Musang yang merupakan pintu masuk negeri Kelantan berisiko menjadi kawasan penularan wabak Covid-19.

Seorang penjawat awam, Mohd. Firdaus Mohd. Azil, 35, berkata, PKPB yang dilaksanakan bermula hari ini memperlihatkan kerajaan mengutamakan keselamatan rakyatnya.

Katanya, semua pihak perlu terus berusaha untuk memutuskan rantaian wabak Covid-19 sehingga jumlah kes yang positif tidak bertambah lagi.

“Meskipun Gua Musang antara daerah yang dikelaskan sebagai zon hijau, tetapi kita tidak boleh lalai kerana wabak Covid-19 masih ada lagi di sekeliling kita.

“Kita berharap penduduk Gua Musang dapat mematuhi semua peraturan yang ditetapkan termasuklah penjagaan jarak sosial,” katanya.

Seorang lagi penduduk, Siti Nur Hafizah Muhammad Yunus, 40, turut lega dengan keputusan yang diambil oleh kerajaan untuk melaksanakan PKPB.

Katanya, dia berharap penduduk Kelantan mematuhi PKPB selama dua minggu ini supaya tempoh itu tidak disambung lagi.

“Semua rakyat di negeri ini harus belajar dan membiasakan diri dengan norma kehidupan yang baharu selepas wabak ini menular di negara kita.

“Jika tiada urusan, kita perlu duduk di rumah bersama keluarga tanpa perlu keluar merata-rata yang sudah pasti mendatangkan risiko jangkitan wabak,” katanya.

Kerajaan memutuskan untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Kelantan mulai hari ini sehingga 6 Disember ini.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, PKPB itu dilaksana bagi membolehkan Kementerian Kesihatan Malaysia melaksanakan saringan secara bersasar dan mengurangkan pergerakan dalam kalangan komuniti di seluruh negeri itu. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI