PETALING JAYA – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad menafikan beliau punca Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak dapat menjadi Perdana Menteri.
Menurut Mahathir, semasa menjadi Perdana Menteri beliau tidak menentang cadangan Pakatan Harapan (PH) bahawa Anwar akan menggantikan beliau apabila beliau meletak jawatan.
“Tetapi belum pun sampai masanya konco-konco Anwar mendesak supaya saya letak jawatan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mahathir berkata, tindakan beliau meletak jawatan Perdana Menteri bagaimanapun tiada kena mengena dengan cadangan PH supaya Anwar mengambil alih jawatan Perdana Menteri
Katanya, beliau meletak jawatan selepas mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bersetuju keluar daripada PH walaupun beliau membantah.
Jelas beliau, keputusan mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu itu menunjukkan kepercayaan kepada beliau sebagai pengerusi Bersatu sudah tiada.
“Jika saya tidak lagi Pengerusi Bersatu dan PH tidak lagi kerajaan, saya tidak lagi jadi Perdana Menteri.
“Saya buat keputusan isytihar bahawa saya letak jawatan sebagai Pengerusi Bersatu dan Perdana Menteri,” katanya. – K! ONLINE