LIVERPOOL – Pengurus pasukan Liverpool, Jurgen Klopp mengakui usaha untuk mempertahankan gelaran Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini tidak semudah yang disangka dengan hampir lapan pasukan berpotensi untuk bergelar juara.
Sebagai rekod, Liverpool kini terpaksa berpuas hati di kedudukan ketiga liga dengan 17 mata selepas mengharungi lapan perlawanan dengan ketinggalan satu mata berbanding pendahulu, Leicester City.
Kata Klopp, perebutan musim ini lebih terbuka kerana sekurang-kurangnya lapan pasukan diletakkan sebagai pilihan untuk meraih kejuaraan EPL.
“Tidak keterlaluan untuk saya katakan cabaran musim ini adalah yang paling sengit berbanding tahun lalu kerana ada lapan pasukan berpotensi untuk mengintai gelaran juara. Secara jujur, saya sangat tenang dengan situasi ketika ini.
“Saya rasa mana-mana pasukan boleh bergelar juara kerana apa yang penting mereka konsisten. Justeru, adalah mustahil untuk pasukan mendominasi saingan liga seperti yang kami lakukan musim lepas apatah lagi merekodkan kutipan 100 mata,” katanya.
Kini, pengendali kelahiran Jerman itu mahu pasukan memberikan tumpuan penuh pada pertemuan menentang Leicester City di Stadium Anfield esok dalam usaha merampas kedudukan teratas liga.
“Apa yang kami lakukan pada lapan perlawanan awal musim ini tidaklah begitu teruk kecuali pada pertemuan menentang Aston Villa. Namun, kelemahan ketara dalam pasukan ketika ini adalah faktor kecederaan yang menimpa skuad utama kami,” katanya. – AGENSI