fbpx

Kontroversi ‘3 jari’ Anne Hathaway

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ANNE HATHAWAY

DIGAMBARKAN memiliki paras hodoh dan bersifat kejam, watak perempuan sihir tidak pernah layak digelar protagonis dalam mana-mana naskhah.

Watak sebegitu turut menjadi momokan buat kanak-kanak. Jika tidak, masakan ada lambakan cerita dongeng tentang ahli sihir yang menakut-nakutkan kanak-kanak.

Tidak kurang hebatnya, filem baharu berjudul The Witches bakal menghantui mimpi penonton dengan sentuhan baharu, berlainan dengan versi pertama terbitan tahun 1990.

 

ANNE HATHAWAY memegang watak Grand High Witch dalam The Witches.

Setelah dua dekad, filem tersebut kembali mewarnai industri dengan imej segar dibawakan pemilik trofi Pelakon Pembantu Wanita Terbaik Anugerah Akademi 2013, Anne Hathaway sebagai Grand High Witch (perempuan sihir).

The Witches mengisahkan sekumpulan perempuan sihir yang berusaha mahu menghapuskan kewujudan golongan kanak-kanak. Mereka percaya kanak-kanak ialah golongan tidak berguna, selain gemar mencetuskan masalah.

Meneruskan cerita, kesemua perempuan sihir di sebuah lokasi dalam naskhah membuat satu pertemuan di sebuah hotel. Masing-masing menjelma sebagai manusia bagi menutup identiti sebenar.

Berlatar belakangkan tahun 1968, naskhah arahan Robert Zemeckis itu memberikan plot penceritaan yang berbeza berbanding versi pertama.

Bukan sahaja pada bahagian plot penceritaan yang diubah, malah perubahan fizikal watak utama filem tersebut turut diberikan kelainan ketara. Malangnya percubaan  Zemeckis juga telah mengundang kritikan hebat khalayak.

TERKESAN dengan kritikan hebat gara-gara watak perempuan sihir berjari tiga, Grand High Witch dalam The Witches, Anne Hathaway mula sedar tentang sensitiviti golongan OKU. Dia juga telah membuat permohonan maaf secara terbuka menerusi akaun Instagramnya.

Kesedaran

Watak Anne yang dilihat memiliki tiga batang jari tanpa jari hantu dan manis dikatakan menyinggung perasaan golongan orang kelainan upaya (OKU).

Ada sebahagian mereka mengatakan tindakan itu bersifat kurang ajar dan tidak menghormati golongan OKU kerana menggambarkan jari perempuan sihir terbabit tidak lengkap selain kelihatan seperti cacat.

Teguran demi teguran akhirnya memaksa Anne menunjukkan keprihatinannya. 

“Saya memohon maaf. Ketika diberikan watak tersebut saya tidak menyedari, imejnya yang mempunyai hubung kait dengan kecatatan anggota. Sekiranya diberitahu terlebih dahulu, perkara seperti yang kalian lihat ini tidak akan berlaku,” jelas pelakon baharu sahaja menyambut ulang tahun kelahiran ke-38 pada 12 November lalu itu menerusi Instagramnya.

Ibu kepada dua cahaya itu turut meluahkan kekesalan dengan penjelasan panjang lebar berserta sebuah video memaparkan kelibat individu OKU.

“Impak daripada filem The Witches, baru-baru ini saya mempelajari tentang individu yang berdepan masalah, terutamanya golongan kanak-kanak.

“Berikan saya peluang untuk menjelaskan bahawa saya berusaha sehabis baik untuk mendalami perasaan mereka. Sikap tidak menyakiti orang lain adalah perkara asas yang perlu diterapkan dalam diri setiap individu.

“Sebagai seorang invidivu yang inklusif dan bencikan kekejaman, saya dengan rendah diri memohon maaf atas segala yang berlaku,” tulisnya dalam Instagram.

Tidak hanya Anne, pengedar filem tersebut, Warner Bros. Pictures turut membuat permohonan maaf berhubung insiden berkenaan. 

Difahamkan, pihak mereka berusaha untuk menterjemahkan watak sama seperti gambaran dalam novel.

ISTERI kepada penerbit, Adam Shulman itu tidak membenarkan anaknya, Jonathan Rosebanks yang masih kecil menonton filem The Witches kerana bimbang memberi gambaran tidak baik tentang dirinya.

Dilarang tonton

Sesuatu yang unik, biarpun bertindak selaku watak utama dalam naskhah ikonik tersebut, Hathaway sebenarnya tidak akan membiarkan anaknya yang berusia empat tahun, Jonathan Rosebanks Shulman menonton lakonannya.  

“Agak mustahil bagi seorang kanak-kanak berusia empat tahun melihat keadaan ibunya sebagai seorang ahli sihir yang sebegitu kejam.

“Saya tidak akan membiarkan dia melihat perkara itu sekarang, sebaliknya akan menjelaskan hal ini apabila tiba masa yang sesuai suatu hari nanti,” kata Hathaway sambil ketawa.

Hathaway mungkin tidak mahu mengotorkan minda anak kecilnya dengan watak zalim si perempuan sihir yang membenci kanak-kanak.

Apatah lagi dalam The Witches, terdapat kesengsaraan golongan kanak-kanak terpaksa hidup sebagai tikus akibat terkena sumpaham ahli sihir jahat. 

 Menjadi perempuan sihir dengan karakter jelik pembenci kanak-kanak, ironinya sewaktu menjalani penggambaran The Witches, Hathaway sedang hamil anak kedua yang kini telah berusia 11 bulan bernama Jack.

Tidak menjelaskan secara terperinci usia kandungannya sewaktu penggambaran, Hathaway membuka rahsia, hal tersebut tidak diketahui sesiapa kecuali pereka busana filem tersebut, Joanna Johnston.

“Saya berasa terkejut apabila dia mengetahui tentang kehamilan saya sedangkan tiada siapa yang mengetahuinya. 

“Ketika itu Joanna mahu saya mengenakan pakaian yang sedikit ketat tetapi apabila mendapati saya  mengandung, dia berubah fikiran,” kongsi Hathaway mengenai memori saat menjalani penggambaran filem The Witches tahun lalu.

KETIKA menjalani penggambaran filem The Witches pada tahun lalu, Anne Hathaway sedang hamil anak kedua yang kini telah berusia 11 bulan.

Ternyata Hathaway juga bijak  menyembunyikan kandungannya sehingga, jika tidak diberitahu mungkin tiada sesiapa menjangkakan dalam perut Grand High Witch yang bencikan kanak-kanak itu sedang tumbuhnya satu benih comel untuk dilahirkan ke dunia.

Bagaimanapun terdapat juga segelintir penonton mendapati fizikalnya kelihatan sedikit berbeza, mungkin disebabkan kostum longar bagi disesuaikan dengan watak dan latar masa filem.

Selain Hathaway, beberapa selebriti wanita lain yang turut menjalani penggambaran sewaktu hamil, termasuklah Scarlett Johansson dalam filem Avengers: Age of Ultron, Halle Berry (X-Men: Days of Future Past), Penélope Cruz (Pirates of the Caribbean: On Stranger Tides) dan Kate Winslet (Divergent).

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI