fbpx

Ketukan misteri hantui penduduk

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Nur Farzana menunjukkan pintu yang diketuk beberapa kali dengan kuat di rumahnya di Kampung Batu 38, malam kelmarin.

SABAK BERNAM – Penduduk di empat buah kampung di sini dihantui misteri apabila kebanyakan mereka mendakwa diganggu dengan bunyi ketukan pintu rumah sejak beberapa hari lalu.

Ketukan misteri tanpa salam itu berlaku pada waktu malam sehingga awal pagi di Kampung Batu 37, Kampung Batu 38, Kampung Tengah dan Kampung Ban­ting sehingga menakutkan penduduk.

Seorang penduduk Kampung Batu 37, Mhd. Khairol Anuar Mhd. Zaini, 39, berkata, dia pernah melalui kejadian misteri itu kira-kira pukul 10.45 malam kelmarin ketika sedang menonton televisyen.

“Saya terdengar bunyi ketukan yang sangat kuat pada pintu dapur seolah-olah ada seseorang yang cuba meminta pertolongan atau berada dalam kecemasan.

“Bagaimanapun, pada awalnya saya tidak ambil peduli kerana menyangkakan anak saudara yang datang rumah.

“Selang beberapa saat, bunyi tersebut semakin kuat. Saya terus intai melalui tingkap, tetapi mendapati tiada sesiapa di luar rumah,” katanya kepada Kosmo! semalam.

Misteri ketukan pintu rumah di Sabak Bernam tular di media sosial sejak kelmarin.

 

Menurutnya, dia kemudian menonton semula televisyen dan selang beberapa minit kemudian, bunyi ketukan yang sama sekali lagi kedengaran di pintu bilik air.

“Bunyi kali ketiga ini betul-betul membuatkan bulu roma meremang dan saya tidak mempedulikan lagi bunyi itu.

“Menggigil juga tubuh saya apabila teringat bilik air itu sudah lama tidak digunakan,” ujarnya.

Sementara itu, penduduk Kampung Batu 38, Nor Azuwa Shaaban, 31, mendakwa, bunyi ketukan kuat itu turut dialami dua adiknya kira-kira pukul 10 malam kelmarin.

Katanya, sebelum kejadian, adiknya, Nur Farzana, 22, sedang menyiapkan tugasan kerja di beranda rumah.

“Sebaik selesai tugasan, dia masuk ke rumah dan tutup pintu. Tiba-tiba dia terdengar bunyi pintu depan diketuk de­ngan kuat. Kebetulan ketika itu seorang lagi adik saya, Nurul Farisya, 17, sedang duduk di sofa dan turut mendengar bunyi yang sama.

“Pada awalnya mereka anggap itu perkara biasa, namun bunyi ketukan yang kuat sekali lagi mengejutkan mereka hingga ke­dua-duanya tergamam,” katanya.

Menurutnya, memandangkan kedua-duanya berada dalam ketakutan, mereka enggan membuka pintu.

“Kami sangka kejadian ini hanya berlaku di rumah ini, rupa-rupanya ramai penduduk yang turut diganggu bunyi yang serupa selepas peristiwa menyeramkan ini tular di media sosial Facebook dan WhatsApp,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Supe­rintendan Agus Salim Mohd. Alias berkata, setakat semalam, pihaknya belum menerima sebarang laporan berkenaan kejadian tersebut.

Bagaimanapun, katanya, polis akan mempertingkatkan kawalan dan rondaan di kawasan kampung terlibat.

“Setakat ini, kita tidak ada maklumat sama ada perkara itu dilakukan individu yang cuba menakutkan penduduk atau sebaliknya.

“Pihak kami minta penduduk mengambil inisiatif sendiri dengan melakukan rondaan agar pelaku dapat ditangkap jika benar ia dilakukan oleh individu tertentu,” katanya ketika dihubungi Kosmo!.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI