PENYANYI daripada kumpulan 2AM, Jinwoon baru sahaja selesai menjalani latihan ketenteraan. Bagi orang lain, pengalaman berada di kem akan menjadi perhatian, namun berbeza dengan lelaki itu.
Ujarnya, apa yang paling menyentuh hati sepanjang berada di kem ialah sikap setia yang ditunjukkan kekasihnya, pelakon Kyungri.
Awalnya, Jinwoon merasakan hubungan mereka akan berakhir kerana terpaksa berpisah untuk tempoh yang lama. Bagaimanapun, sebaliknya yang berlaku.
“Saya pernah tanya, mungkin lebih baik kami berpisah. Saya kasihan kepadanya. Saya mahu menjaganya tetapi sukar. Saya terharu apabila dia sanggup menunggu saya.
“Sewaktu dalam latihan, dia tidak lekang menziarahi saya. Sehingga sekarang hubungan kami baik. Terima kasih kepada Kyungri kerana bekerja keras untuk hubungan ini,” katanya ketika muncul dalam program Video Star.
Ketika bercerita tentang kesetiaan kekasihnya, Jinwoon tidak dapat menahan kesedihan mengenangkan kesukaran Kyungri berdepan gosip cinta mereka seorang diri.
“Ketika gosip hubungan kami bertebaran, saya tiada di sisinya. Dia mengharungi semua kesukaran menjawab setiap soalan ketika ditemu ramah seorang diri. Saya cintakan awak, Kyungri,” kata Jinwoon seperti memetik laporan Kstarlive.