PETALING JAYA – Pelan Jalinan Digital Negara (Jendela) yang diperkenalkan kerajaan adalah asas kepada peralihan infrastruktur digital dengan matlamat untuk menyediakan liputan perkhidmatan jalur lebar yang menyeluruh dan berkualiti tinggi pada kadar berpatutan kepada rakyat.
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) berkata, kelancaran dan kesalinghubungan digital yang inklusif menjadi asas penting kepada usaha memacu ekonomi digital di negara ini.
Katanya, ia juga akan memberi impak kepada pelbagai pihak termasuklah industri tradisional untuk mengadaptasi penggunaan teknologi selain meningkatkan kecekapan operasi mereka.
“Aktiviti ekonomi digital seperti e-dagang dan teknologi kewangan (fintech) akan bertambah pesat. Perniagaan kini boleh menghubungi lebih ramai pelanggan dalam kawasan yang sebelum ini tidak pernah ditujui sebelum ini.
“Usahawan kecil pula boleh memperluaskan perniagaan memandangkan mereka berupaya untuk memulakan aktiviti pemasaran digital di samping menjalankan transaksi perniagaan mereka secara digital,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Pada masa sama katanya, kerajaan komited dalam meletakkan aspek pendidikan sebagai pelaburan paling penting untuk memastikan kualiti kehidupan yang lebih baik serta merapatkan jurang digital.
“Buktinya, kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM500 juta bagi tahun 2021 di bawah Belanjawan 2021 untuk memastikan kesalinghubungan di 430 buah sekolah seluruh negara.
“Peruntukan sebanyak RM7.4 bilion turut diberikan untuk tahun 2021 dan 2022 bagi memperluaskan perkhidmatan jalur lebar terutamanya di kawasan luar bandar,” jelasnya.
Menurut kenyataan itu, program Jaringan PRIHATIN yang menelan belanja RM1.5 bilion pula akan dapat dimanfaatkan oleh kira-kira lapan juta penduduk dari golongan B40 bagi mendapatkan perkhidmatan dan memperluaskan jaringan Internet.
Katanya, mereka akan menerima RM180 (RM15 sebulan) seorang yang boleh digunakan untuk perbelanjaan langganan Internet ataupun menampung sebahagian kos pembelian telefon bimbit baharu.
“Selain itu, proses pemerkasaan Pusat Internet Komuniti (PIK) akan dilaksanakan di seluruh negara. Melalui proses itu,masalah kekurangan alat peranti, kemudahan Internet mahupun keselamatan pelajar untuk menimba ilmu dalam talian dapat ditangani.
“Penggunaan PIK juga akan dipertingkatkan melalui pertambahan kandungan atau kursus, bantuan dalam aspek pembungkusan dan pemasaran produk kepada golongan usahawan yang akan dilaksanakan tidak lama lagi,” jelasnya.
Mengulas lanjut, kenyataan itu memaklumkan penyediaan belanjawan sebanyak RM42 juta untuk menyediakan rangkaian gentian optik ke 25 kawasan perindustrian adalah seiring dengan langkah memperkukuhkan infrastruktur bagi industri bergerak maju dalam digitalisasi perniagaan.
“Penubuhan Majlis Ekonomi Digital dan revolusi Perindustrian Keempat diumumkan Perdana Menteri juga menunjukkan kerajaan serius memastikan pembangunan ekonomi digital bersifat inklusif dan memanfaatkan sepenuhnya teknologi Revolusi Industri 4.0 (IR4.0).
“Dengan adanya kesalinghubungan digital yang inklusif dan mantap melalui usaha pelbagai oleh pihak kerajaan, ia akan dapat menarik lebih ramai pelabur dari dalam dan luar negara untuk melabur di negara ini sekaligus memacu pertumbuhan ekonomi dan kesejahteraan rakyat,” ujarnya. – K! ONLINE