KOTA TINGGI – Pengalaman terapung selama sembilan jam di laut selepas terjatuh dari bot yang dialami seorang nelayan di Tanjung Sedili di sini diibaratkan bagai mati hidup semula.
Mangsa, Abdul Aziz bin Abdullah, 57, berkata, kejadian berlaku ketika dia turun menjaring ikan berseorangan sebelum terjatuh ke laut ketika sedang membetulkan jaringnya.
Katanya, ketika itu hanya Tuhan sahaja yang tahu perasaannya yang tidak henti berdoa agar dirinya selamat.
“Ini bukan pengalaman pertama saya sudah banyak kali juga terjatuh tapi tidak pula sampai seperti ini kerana saya dibawa arus laut jauh dari bot.
“Bukan tidak boleh berenang, saya pandai berenang tetapi keadaan arus menyebabkan saya hanya mampu mengikut arus sahaja dan membawa saya lebih jauh dari bot.
“Ketika itu saya tekad untuk menyelamatkan diri dengan mengambil pelampung pukat yang dipasang nelayan-nelayan untuk dijadikan bahan agar saya terus terapung.
“Dari satu pelampung ke satu pelampung saya gunakan dan hanya reda sahaja badan saya terapung mengikut arus laut,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.
Dalam pada itu, Pengarah Maritim Malaysia (APMM) Negeri Johor, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata, Maritim Malaysia menerusi Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Johor Bahru menerima panggilan daripada Zon Maritim Tanjung Sedili pada pukul 4.50 petang mengenai penemuan sebuah bot tanpa pengemudi oleh komuniti maritim di kedudukan 3.1 batu nautika timur laut Tanjung Sedili Kechil.
”Bertindak atas aduan, bot Kilat 16 segera diatur gerak ke lokasi kejadian dan menemui bot gentian kaca lengkap dengan peralatan menangkap ikan tanpa pengemudi.
“Kilat 16 terus melakukan pencarian sekitar bot ditemui dengan dibantu tiga bot nelayan tempatan bagi mengesan mangsa.
“Mangsa ditemui selamat sedang terapung dengan berpaut pada pelampung pukat pada pukul 6.00 petang oleh nelayan tempatan di kedudukan lebih kurang 5.1 batu nautika timur Tanjung Sedili Kechil dan seterusnya dibawa ke Klinik Kesihatan Tanjung Sedili untuk pemeriksaan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan. – K! ONLINE