RUANG tamu menjadi salah satu sudut penting di dalam sebuah kediaman bagi menerima kehadiran tetamu selain berkumpul bersama keluarga.
Kini, terdapat pelbagai pilihan konsep bagi seseorang untuk menata hias ruang tamu mereka mengikut kesesuaian, minat, cita rasa dan bajet masing-masing.
Bagi pereka dalaman dari syarikat Arif Latif Deco Design (AL Decodesign), Muhammad Arif Latif, pemilihan sesuatu tema ruang tamu kini dilihat lebih bervariasi dan tidak terhad kepada satu-satu konsep.
“Pun begitu antara tema yang menjadi pilihan dan disukai ramai ialah moden, Maghribi, Bali, minimalis dan sebagainya,” katanya kepada K2.
Bagi konsep moden pula terdapat beberapa pembahagian misalnya moden mewah, moden klasik dan moden kontemporari.
“Untuk konsep moden mewah, beberapa perkara perlu dititikberatkan seperti pemilihan rona warna cat pada dinding, perabot, sofa serta beberapa aksesori lain,” jelasnya.
Menurut Muhammad Arif, konsep moden mewah biasanya diminati mereka yang sudah berumah tangga dan berkeluarga sehingga ke peringkat umur lebih tua.
Tambahnya konsep moden mewah biasanya lebih ringkas jika dibandingkan dengan mewah klasik yang sarat dengan pelbagai elemen tambahan.
Ditanya mengenai kriteria utama sebelum seseorang memilih tema mewah moden untuk diaplikasikan kepada ruang tamu kediaman mereka, Muhammad Arif berkata saiz ruang yang lebih besar menjadi nilai tambah kepada tema tersebut.
“Saiz sesebuah ruang tamu itu sangat memainkan peranan penting bagi konsep moden mewah yang dipilih. Jika saiznya besar dan dipenuhi aksesori berwarna terang dan berkilat, tema tersebut berjaya ditonjolkan.
“Namun jika saiz ruang tamu kediaman agak sedikit kecil, ia tidak akan mencakupi elemen mewah itu secara keseluruhan. Definisi bagi moden mewah ialah besar, berkilat, elegan tinggi, luas dan seumpama dengannya,” ujarnya yang memberitahu kediaman jenis banglo amat sesuai dengan tema tersebut.
Pun begitu katanya, kini banyak jenis kediaman turut boleh memilih atau mengaplikasikan tema moden mewah ini termasuk teres dan pangsapuri.
Mengenai pemilihan aksesori pula, Muhammad Arif menyatakan, sofa ialah aksesori wajib dalam melengkapkan kesempurnaan kepada tema tersebut.
Jelasnya, pemilihan sofa mestilah betul dengan mengetengahkan material jenis baldu dilengkapi beberapa peralatan lain seperti cermin dinding, meja, perabot dan lain-lain yang kelihatan elegan.
“Mengenai warna sofa dan aksesori lain, seelok-eloknya guna dan pilih warna hitam berkilat, biru atau emas yang dapat menaikkan suasana mewah itu sendiri,” katanya.
Ditebak mengenai kos untuk tema tersebut, dia berkata perkara tersebut semuanya bergantung kehendak dan bajet kewangan setiap individu.
Ujarnya, kebiasaannya ia boleh mencecah hingga RM10,000 hingga RM20,000 bagi sesebuah jenis kediaman banglo yang dilengkapi pelbagai aksesori dan perabot bersesuaian dengan tema moden mewah yang dipilih.