fbpx

Banjir : Kajian EIA perlu lebih teliti

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas), Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof (kiri) meninjau peralatan sekolah yang rosak terjejas akibat banjir ketika melawat Sekolah Jenis Kebangsaan (T) Durian Tunggal. -Foto RASUL AZLI SAMAD

ALOR GAJAH – Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Tugas-Tugas Khas, Datuk Seri Mohd. Redzuan Yusof menegur tahap ketelitian Kajian Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA) berkaitan masalah banjir.

Beliau berkata, kajian itu seolah-olah kurang diberi perhatian melibatkan rancangan pembangunan apabila terdapat peningkatan jumlah kawasan yang dinaiki banjir.

Katanya, kajian itu yang meliputi usaha mengenalpasti, meramal dan menghuraikan kebaikan serta keburukan sesuatu cadangan projek pembangunan adalah sangat penting supaya kesan sosial seperti banjir tidak berlaku.

“Kalau kita buat kajian (EIA) lebih mendalam sebelum meluluskan projek-projek tertentu mungkin tidak akan terjadi banjir, misalnya ada kawasan di negeri ini yang tidak pernah banjir selama 57 tahun tiba-tiba air naik sampai 1.5 meter.

“Jadi, saya nak seru rakan saya di Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan dan Kementerian Air dan Sumber Asli supaya lebih mengambil perhatian kepada segala bentuk perancangan dan pembangunan di kawasan terlibat,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Alor Gajah berkata demikian selepas melawat Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Tamil Durian Tunggal yang turut terjejas akibat banjir di daerah ini di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd. Redzuan berkata, Jabatan Pengairan Saliran (JPS) juga perlu bertanggungjawab memastikan sungai di kawasan-kawasan berpotensi banjir dapat menampung impak pembangunan terutama pada musim tengkujuh.

“Kita tidak mahu impaknya memberi kesan mudarat kepada masyarakat sekeliling ekoran bencana banjir yang berlaku,” katanya yang turut mengumumkan bantuan kecemasan sebanyak RM20,000 akan disalurkan kepada sekolah itu.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan setakat ini tiada keperluan untuk membekukan cuti pegawai dan anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) sepanjang musim tengkujuh sehingga Mac tahun depan.

“Kerajaan yakin penglibatan lebih 2 juta anggota APM yang berada di setiap daerah seluruh negara mampu menampung keperluan petugas di semua pusat pemindahan sementara,” katanya.-K!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI