MAUNA LOA, HAWAII – Sebutir asteroid sebesar sebuah bas dua tingkat hampir merempuh Bumi apabila ia meluncur pada jarak paling dekat dengan atmosfera sekitar 386 kilometer (km) baru-baru ini, lapor akhbar Daily Mail.
Pengendali laman web Orbit Simulator, Tony Dunn berkata, batu angkasa yang diberi nama 2020 VT4 atau A10sHcN itu hanya dapat dikesan oleh Sistem Amaran Akhir Hentaman Asteroid (ATLAS), 15 jam selepas ia menghampiri atmosfera Bumi.
Batu angkasa yang mempunyai ukuran antara 5 meter hingga 10 meter itu dikatakan akan terbakar di ruang udara Lautan Pasifik Selatan sekiranya ia menghampiri Bumi pada jarak lebih dekat.
“Asteroid 2020 VT4 yang baru dikesan menghampiri Bumi, melintas pada ketinggian cuma beberapa ratus kilometer di atas Lautan Pasifik Selatan.
“Fenomena itu telah memendekkan jarak orbitnya dan ia diramal melintasi Bumi pada jarak dekat dengan lebih kerap di masa akan datang,” kata Dunn dalam komen di laman sosial Twitter.
Fenomena tersebut bukan kali pertama berlaku tahun ini, malah pada Ogos lalu, sebutir asteroid dikenali sebagai 2020 QG pernah menghampiri bumi pada jarak 2,945 km.
Bersaiz lebih kecil daripada 2020 VT4, 2020 QC mempunyai ukuran diameter 1.8 hingga 5.5 meter dan objek kecil seperti itu dikatakan sering menghampiri Bumi pada setiap tahun.
Menurut saintis, saiz asteroid yang mampu mengakibatkan kerosakan di permukaan Bumi dianggarkan berukuran sekurang-kurangnya 25 meter.
Sementara itu, sebutir meteor yang meletup di ruang udara Rusia pada 2013 dan mengakibatkan cermin ribuan bangunan pecah serta 112 individu dimasukkan ke hospital, mempunyai ukuran 30 kali ganda lebih besar daripada 2020 VT4.
Sebutir batu angkasa yang mempunyai ukuran lebar 96 km berisiko menghapuskan seluruh hidupan di Bumi. – Agensi