SEOUL – Video muzik terbaharu kumpulan sensasi K-Pop BTS, Life Goes On mendapat sambutan hangat apabila ditonton sebanyak 20 juta kali dalam tempoh masa tiga jam selepas ia dilancarkan.
Lagu yang dimuatkan dalam album terbaharu mereka, BE membawa mesej tentang harapan dalam menempuh pandemik Covid-19.
Salah seorang ahli kumpulan itu, Jimin berkata, mereka berharap muzik yang dibawakan dalam album berkenaan dapat menenangkan perasaan orang ramai khususnya peminat.
“Misi kami dengan muzik dalam album BE ini ialah supaya ia dapat menjadi medium untuk membuatkan ramai orang berasa selesa dan selamat.
“Saya akan rasa amat bersyukur sekiranya ramai orang dapat mengaitkan diri mereka dengan lagu-lagu berkenaan,” katanya dalam satu sidang media hari ini.
BTS menjadi satu fenomena sejak mula berada dalam dunia seni pada 2013 dan konsert mereka yang diadakan di Los Angeles, Amerika Syarikat (AS), Paris, Perancis dan London, Britain tahun lalu mendapat sambutan hangat hingga tiket habis dijual.
Mereka terus mengukuhkan lagi kedudukan dalam industri hiburan dunia selepas single berbahasa Inggeris pertama, Dynamite menduduki tempat teratas dalam carta Billboard Hot 100 Ogos lalu.
Ia sekali gus menjadikan mereka artis Korea Selatan pertama mengungguli carta muzik AS.
Selain itu, susulan kejayaan tersebut, saham syarikat rakaman mereka, Big Hit Entertainment turut memperoleh nilai berbilion dolar. – AFP