fbpx

Trump ubah pendirian, mahu sertai sidang APEC

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
REAKSI Trump selepas selesai berucap di White House pada 13 November lalu. – AFP

WASHINGTON – Presiden Donald Trump mahu mewakili Amerika Syarikat (AS) pada sidang kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia -Pasifik (APEC) yang diadakan secara maya hari ini selepas gagal menghadiri rundingan pe­ringkat tinggi serupa melibatkan para pemimpin Asia.

Menurut majalah The Diplomat, penglibatan Trump dalam forum APEC kali ini yang dihoskan oleh Malaysia adalah yang pertama oleh beliau sejak 2017. Selain Trump, sidang APEC tahun ini turut menyaksikan penglibatan Presiden China, Xi Jinping bersama pemimpin 19 negara Asia-Pasifik lain.

Trump sepatutnya hadir pada forum APEC tahun lalu tetapi negara tuan rumah, Chile membatalkannya berikutan digegarkan oleh rusuhan ganas, manakala sidang kemuncak itu di Papua New Guinea pada 2018 menyaksikan AS diwakili Naib Presidennya, Mike Pence.

Sekiranya beliau muncul hari ini, APEC di Kuala Lumpur berkemungkinan besar menjadi pentas antarabangsa terakhir dihadiri oleh Trump sebagai Presiden AS selepas kalah kepada pencabar daripada Parti Demokrat, Joe Biden dalam pilihan raya Presiden pada 3 November lalu.

Kelibat Trump tidak kelihatan semasa pemimpin-pemimpin Asia mengadakan sidang peringkat tinggi secara maya pada minggu lalu termasuk Sidang Kemuncak Asia Timur dan pada satu mesyuarat khas sebagai sebahagian daripada pertemuan Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN).

Ketika itu, AS diwakili bukan oleh Trump, Pence atau Setiausaha Negara, Mike Pompeo. Negara kuasa besar dunia itu sebaliknya menghantar pegawai lebih rendah merangkap Penasihat Keselamatan Negara, Robert O’Brien yang turut mewakili Washington pada sidang tersebut tahun lalu.

Ketidakhadiran Trump itu berlaku di sebalik pentadbirannya mengisytiharkan Asia Tenggara sebagai hab strategi Indo-Pasifik Bebas dan Terbuka AS. Tahun 2020 adalah tahun ketiga berturut-turut beliau gagal me­nunjukkan muka pada sidang Asia sekali gus meningkatkan kesangsian berhubung komitmen AS sebagai sahabat rantau berkenaan.

Kehadiran O’Brien pada sidang ASEAN kali ini dibayangi pe­meteraian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) iaitu perjanjian perdagangan bebas merangkumi 10 negara anggota ASEAN serta Jepun, China, Korea Selatan, Australia dan New Zealand.

Penubuhan RCEP menyaksikan AS terpinggir daripada dua perjanjian perdagangan bebas utama Asia.

Sekiranya beliau hadir hari ini, Trump dijangka menggunakan sidang APEC untuk mengkritik China buat kali terakhir setelah hubungan Washington-Beijing semakin meruncing sejak beliau menjawat jawatan Presiden AS.

Sementara itu, Perdana Menteri Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menjadi hos sidang kemuncak utama pertama beliau sejak awal tahun ini, mungkin berharap agar Malaysia dapat mengelakkan insiden APEC 2018 apabila para pemimpin APEC gagal mencapai persetujuan bersama untuk kali pertama sejak 1993.

Selain itu, agenda APEC kali ini dijangka tertumpu kepada isu pandemik koronavirus yang terus menular selepas menjangkiti 55 juta orang di seluruh dunia dan mengakibatkan 1.33 juta kematian setakat ini

APEC yang ditubuhkan pada 1993 terdiri daripada 21 negara anggota termasuk Australia, Brunei, Kanada, Chile, China, Hong Kong, Indonesia, Jepun, Korea Selatan, Malaysia, AS, Mexico, New Zealand, Papua New Guinea, Peru, Filipina, Rusia, Singapura dan Thailand. – Agensi

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI