KEMUNCULAN kumpulan STAYC dalam industri dengan menjadikan lagu berjudul So Bad disambut baik oleh peminat yang rata-ratanya memberikan respons positif.
Bagaimanapun, mata peminat cepat menangkap ada sesuatu yang tidak kena dalam video muzik rasmi lagu berkenaan yang dikatakan meniru video muzik penyanyi antarabangsa untuk lagu Midnight Sky.
Syarikat produksi yang bertanggungjawab mengendalikan penggambaran video muzik tersebut kemudian tampil menjelaskan keadaan dengan menyatakan bahawa mereka tidak mempunyai niat untuk melakukan sebarang aktiviti plagiat.
“Sebagai pihak yang mengambil bahagian menghasilkan video muzik itu, kami bertanggungjawab sepenuhnya atas kontroversi plagiat yang timbul.
“Semua prop yang digunakan seperti pokok, potongan kertas kecil (confetti) dan bebola belon yang digunakan dalam video itu diputuskan selepas berbincang dengan penerbit,” jelasnya.
Tambah syarikat itu lagi, kesemua prop yang dipakai dalam lagu itu sebenarnya sering digunakan dalam kebanyakan video muzik lain, namun dengan cara berbeza.
Produksi turut memohon maaf bukan sahaja kepada agensi STAYC, bahkan juga kepada peminat yang terkesan dengan perkara tersebut sehingga meluahkan kekecewaan dalam media sosial.