PETALING JAYA – Seorang maut manakala seorang lagi cedera selepas terlibat dalam kemalangan membabitkan dua buah kenderaan di Lebuh Raya Damansara Puchong petang semalam.
Timbalan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Superintendan Ku Mashariman Ku Mahmood berkata, siasatan awal mendapati mangsa berusia 19 tahun yang membonceng motosikal tercampak ke belakang akibat dilanggar oleh kereta jenis KIA.
“Akibat pelanggaran itu mangsa yang bekerja di Sunway Pyramid maut di tempat kejadian, manakala penunggang motosikal seorang lelaki warga tempatan berusia 20 tahun mengalami kecederaan ringan di bahagian tangan dan kaki.
“Sementara itu, pemandu seorang lelaki tempatan berusia 30 tahun dan penumpangnya berusia 29 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan dan hasil ujian air kencing yang dijalankan terhadap pemandu tersebut mendapati positif dadah jenis Methamphetamine dan Tetrahydrocannabinol,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menurutnya, siasatan mendapati mangsa sedang dalam perjalanan menuju ke Sea Park berada di lorong kiri jalan sebelum tiba-tiba dilanggar oleh kereta yang dipandu suspek.
Suspek ditahan reman selama sehari dan disiasat di bawah Seksyen 44(1)(a) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952. -K! ONLINE