KUALA KANGSAR – Padah mengugut bunuh adik kandung sendiri disebabkan permintaan untuk mendapatkan wang bagi membeli rokok tidak ditunaikan, seorang peniaga dijatuhi hukuman penjara selama dua tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini.
Hakim Rohaida Ishak menjatuhkan hukuman tersebut selepas tertuduh, Wan Mohd. Hanif Wan Nik Azhar, 25, mengaku bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan ugutan jenayah dengan mengacukan pisau kepada adik kandungnya, Wan Hazman Haikal di sebuah rumah tidak beralamat di Kampung Pulau, Padang Rengas dekat sini pada pukul 3 petang 16 November lalu.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Siti Hanida Abduk Kadir manakala tertuduh diwakili peguam bela, Hennie Soraya Hanafi daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).
Sebelum menjatuhkan hukuman, Hakim Rohaida sempat bertanyakan sebab tertuduh mengugut adiknya dan dia memberitahu adiknya itu tidak memberikan wang untuk dia membeli rokok.
Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara selama dua tahun terhadap tertuduh bermula tarikh dia ditangkap pada 17 November lalu. -K! ONLINE