fbpx

PDRM Melaka tangkap 3, 448 individu terlibat dadah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ABDUL Majid (dua dari kiri) menunjukkan barang rampasan pada sidang akhbar kejayaan tangkapan kes syabu di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka, di Bukit Beruang di sini hari ini.

MELAKA – Polis Diraja Malaysia (PDRM) Melaka menahan seramai 3, 448 individu terlibat dalam penyalahgunaan dadah dengan nilai rampasan bernilai RM3. 44 juta sepanjang tempoh Januari sehingga Oktober tahun ini.

Ketua Polis Melaka, Datuk Abdul Majid Mohd. Ali berkata, mengikut pecahan seramai 1, 315 daripadanya ditahan kerana memiliki dadah, kes urin (1, 402), bekalan (689) dan tangkapan di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952 (Langkah-langkah Pencegahan Khas) 1985 sebanyak 42 pesalah.

Katanya, kebanyakan pengedar dadah yang berjaya dicekup berusia antara 30 sehingga 55 tahun, manakala penglibatan pesalah bawah umur membabitkan pelajar sekolah merekodkan hanya kira-kira dua peratus.

“Sepanjang tempoh dari awal tahun sehingga Oktober lalu, pasukan PDRM Melaka berjaya mencekup seramai 3, 448 pengedar dadah di tiga daerah di negeri ini.

“Kita turut merampas dadah pelbagai jenis termasuk syabu, heroin, ganja, ketamin, pil dan serbuk ekstasi, pil yaba, erimin-5, pil psikotropik, cecair kodein, kafein, air serta daun ketum dengan jumlah rampasan RM3.44 juta,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar kejayaan tangkapan kes syabu di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka, di Bukit Beruang di sini hari ini.

Jelasnya, pihaknya turut merampas barang-barang yang disyaki terlibat dalam kegiatan tersebut dengan nilai sitaan keseluruhan perlucutan harta (FOP) sebanyak RM1. 65 juta.

Mengulas lanjut, beliau memberitahu, setakat ini Melaka Tengah mencatatkan rekod tertinggi kes pengedaran dadah disebabkan faktor kuasa membeli di daerah itu.

“Kita percaya kesemua dadah itu dibawa masuk dari kawasan Lembah Klang, Selangor dan Johor melalui jalan darat, dari jalan besar sehinggalah lorong-lorong tikus yang ada.

“Melaka Tengah mencatatkan kes pengedaran dadah tertinggi disebabkan kuasa membeli yang tinggi,” katanya.

Katanya, pihak polis mengalu-alukan kerjasama masyarakat dalam menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti pengedaran dadah untuk bersama-sama membantu mengekang kegiatan itu di negeri ini. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI