PETALING JAYA – Penyanyi dan pelakon Nabila Razali mengesahkan dia tidak akan membuat persembahan pada Separuh Akhir Muzik-Muzik (SFMM35) pada Ahad nanti.
Perkara tersebut dimaklumkan pihak pengurusannya, Universal Music Malaysia menerusi satu kenyataan hari ini.
Tindakan itu dilakukan ekoran Nabila atau nama sebenarnya, Nur Nabila Mohd Razali, 28, mempunyai masalah kesihatan yang tidak dapat dielakkan.
“Dukacita saya ingin memaklumkan bahawa Nabila tidak dapat membuat persembahan pada SFMM35 yang bermula malam ini atas masalah kesihatan yang tidak dapat dielakkan.
“Keputusan ini dibuat atas nasihat doktor, guru vokal, Datuk Syafinaz Selamat dan juga komposer lagu Peluang Kedua, Hael Husaini & MFMF,” katanya.
Ujar pihak Universal juga, pelbagai usaha rawatan sudah dilakukan termasuk khidmat doktor pakar namun berehat dalam jangka masa panjang ialah jalan terbaik.
“Ini adalah keputusan yang sangat sukar buat Nabila berikutan peluang untuk menyanyi di pentas SFMM antara yang menjadi impiannya sebagai penyanyi.
“Dia sudah menjalani latihan vokal sejak September lalu dengan Syafinaz sebagai persiapan awal. Namun masalah ini dikesan sejak minggu lalu dan menjadi semakin teruk,” tulis kenyataan tersebut.
Bagaimanapun, pihak pengurusan kini masih mencari penyanyi bagi menggantikan Nabila untuk membuat persembahan pada Ahad nanti.
“Pihak kami masih mengusahakan siapa pengganti terbaik untuk lagu ini. Sebarang perkembangan mengenainya akan diberitahu kemudian.
“Pihak produksi juga sudah dimaklumkan tentang perkara ini. Segala kesulitan amatlah kami kesali,” kata oengurusan.
Terdahulu, lagu Peluang Kedua merupakan antara 30 buah karya yang bakal dipertandingkan pada SFMM35 yang berlangsung selama tiga hari bermula hari ini hingga Ahad depan.
Antara lagu yang akan bertanding pada SFMM35 ialah Aku Bidadari Syurgamu (Datuk Seri Siti Nurhaliza), Belenggu Rindu (Datuk Jamal Abdillah dan Wany Hasrita) dan Sembah (Naim Daniel)
Pada SFMM35 nanti, Shiha Zikir juga menjadi penyanyi ganti bagi Siti Nurhaliza untuk lagu 7 Nasihat. Sebanyak 12 lagu yang layak ke Anugerah Juara Lagu ke-35 bakal diumumkan pada Ahad nanti. – K! ONLINE