PETALING JAYA- Kreativiti netizen negara ini menghiburkan pelakon dan penerbit, Puan Sri Tiara Jacquelina apabila karakter dalam filem Puteri Gunung Ledang yang diterbitkan beliau dijadikan meme.
Dalam satu hantaran di laman Facebook beliau, Tiara berkata, filem itu telah dijadikan subjek untuk meme selama dua minggu.
“Macam tahu sahaja, kitorang tengah promosi tayangan terhad filem versi asal dekat EnfinitiV.Asia, dengan bonus babak terpotong lagi.
“Siapa yang kreatif sangat ini, tolong lah angkat tangan, saya nak kredit awak pun tak tahu macam mana,” katanya.
Tiara turut berkongsikan beberapa meme yang memaparkan karakter Hang Tuah lakonan Datuk M. Nasir dan Puteri Gunung Ledang lakonan beliau sendiri dengan dialog yang mencuit hati.
Antara meme itu turut memaparkan isu semasa mengenai Kumpulan Wang Simpanan Pekerja yang menjadi bualan hangat apabila Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari menyamakan tuntutan Barisan Nasional (BN) untuk Belanjawan 2021 seperti tuntutan Puteri Gunung Ledang.
Filem epik sejarah tersebut dihasilkan Enfiniti Vision Media pada 2004 berlatarbelakangkan Kesultanan Melayu Melaka. -K! ONLINE