MADRID – Bekas pemain tengah Barcelona, Cesc Fabregas mendedahkan bahawa legasi yang dicipta oleh Lionel Messi di Camp Nou tidak akan terpadam sekali pun pemain itu membuat keputusan untuk meninggalkan pasukan berkenaan.
Messi hampir sahaja meninggalkan The Catalan pada musim panas lalu, namun beberapa perkara di dalam kluasa pelepasannya yang kurang jelas menyebabkan dia terpaksa kekal bersama pasukan itu untuk tempoh semusim lagi.
Barcelona dan pengurusan La Liga berjaya mengekalkan pemenangan enam anugerah Ballon d’Or itu tetapi Messi akan berpeluang untuk mendengar sebarang tawaran bermula 1 Januari nanti ketika kontraknya berbaki enam bulan sahaja lagi.
Manchester City dan Paris Saint-Germain dilaporkan antara pasukan yang mungkin menjadi pilihan pemain berusia 33 tahun itu jika dia tidak menerima tawaran kontrak baharu yang bakal diberikan Barcelona.
Ketika ditanya sama ada hubungan Messi dan peminat Barcelona akan musnah jika pemain itu meninggalkan pasukan, Fabregas percaya perkara itu tidak akan terjadi kerana reputasi dan legasi yang telah dicipta terlalu besar serta hebat.
“Saya fikir itu tidak akan berlaku. Leo adalah seorang bintang dan peminat memahaminya. Mereka mungkin akan berkata, Wow! dia meninggalkan kami.
“Mungkin selepas dia meninggalkan Barca, orang akan mula terfikir mengenai nilai yang telah ditinggalkan untuk pasukan itu. Tidak akan ada pemain yang mampu ‘mencuri’ legasi itu, ia akan terus kekal,” katanya.
Fabregas mengakui bahawa dia sangat sedih melihat cara Messi dilayan sebelum ini tetapi gembira apabila bermula September lalu, pemain itu sudah kembali menemui sentuhan.
“Saya simpati apabila melihat ramai yang cuba menyakitinya tetapi sebagai peminat The Catalan, saya gembira dia terus kekal. Saya tidak tahu bagaimana masa depannya nanti,” ujarnya. – AFP