SARAJEVO – Itali mengesahkan tempat ke pusingan akhir Liga Negara-Negara Eropah selepas membenam Bosnia Herzegovina 2-0 di Stadium Grbavica awal pagi semalam.
Andrea Belotti dan Domenico Berardi masing-masing menjaringkan satu gol bagi memastikan skuad kendalian Roberto Mancini itu menjuarai saingan Kumpulan A1 dengan 12 mata.
Pembantu jurulatih Itali, Alberico Evani mengakui mereka tidak sabar untuk beraksi pada pusingan akhir yang turut diiringi Belgium, Sepanyol dan juara dunia, Perancis.
“Saya gembira kami berjaya melangkah ke pusingan akhir kerana ia peluang terbaik untuk menguji kekuatan kami dengan pasukan-pasukan terbaik di Eropah.
“Kami mahu lihat sejauh mana kemampuan kami apabila bertemu pasukan-pasukan seperti itu. Apabila bertemu mereka, kami akan tahu Itali berada di tahap mana,” kata Evani.
Pada masa sama, beliau turut memuji prestasi yang ditampilkan barisan pemainnya selepas melakar tiga kemenangan meskipun berada dalam situasi sukar.
“Saya hanya boleh berterima kasih kepada semua pemain kerana sudah berikan segala-galanya apabila menyarung jersi pasukan. Kami menang tiga perlawanan menerusi aksi meyakinkan,” ujarnya. – AGENSI