fbpx

Guna nama samaran, tiada senarai rakan antara ciri-ciri akaun palsu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar Hiasan

CYBERJAYA – Nama pemilik akaun seolah-olah bukan nama sebenar dengan menggunakan nama samaran atau orang terkenal manakala maklumat peribadi juga meragukan dengan biodata yang tidak realistik.

Itu antara ciri-ciri untuk mengenal pasti akaun palsu yang baharu diaktifkan dalam tempoh beberapa bulan.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) berkata, akaun baharu kerap diwujudkan bagi mengaburi jejak daripada pihak berkuasa atau pembongkaran oleh mangsa penipuan sebelum ini.

“Akaun palsu mempunyai senarai rakan yang sedikit atau tiada langsung kerana tujuan akaun dibuka bukan untuk perkenalan jangka panjang bahkan senarai rakan juga mungkin akaun palsu.

“Gambar profil juga tidak berkaitan dengan identiti yang mana gambar yang digunakan berbentuk abstrak atau dicuri daripada profil lain,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, SKMM berkata, aktiviti akaun yang tiada langsung kisah berkaitan hal peribadi juga antara ciri-ciri akaun palsu.

Katanya, catatan dinding (wall post) akaun palsu terlalu sedikit dan kebanyakan kandungan hanya perkongsian ulasan dan bahan yang diambil atau dikongsi daripada orang lain.

“Akaun palsu juga boleh dikenal pasti melalui terlalu banyak ‘likes’ hantaran orang lain di pelbagai topik dan kumpulan namun terlalu sedikit ‘likes’ di halaman sendiri.

“Akaun ini juga hanya aktif sekali-sekala dan kadang-kadang dinyah aktif,” katanya.

SKMM berkata, penjenayah siber dikesan menggunakan pelbagai taktik licik untuk menjalankan penipuan termasuk ada yang menyamar menggunakan profil ahli keluarga, kenalan mangsa, orang kenamaan atau individu serta syarikat terkenal.

“Orang ramai perlu lebih berhati-hati jika terdapat lebih daripada satu ciri-ciri yang dinyatakan di atas ketika berurusan melalui akaun media sosial yang baru dikenali terutamanya jika melibatkan transaksi kewangan atau aktiviti jual beli,”

“Selain mencetuskan permusuhan, perpecahan dan suasana tidak tenteram melalui hasutan, akaun palsu juga digunakan untuk kegiatan penipuan yang menyebabkan kerugian jutaan ringgit saban tahun,” katanya.

Sehubungan itu, pihaknya mengingatkan orang ramai supaya berwaspada dengan akaun palsu di media sosial yang sengaja diwujudkan untuk tujuan penipuan dan hasutan.

“Jauhkan diri daripada memperkatakan isu sensitif berkaitan agama, kaum, institusi diraja dan politik yang cuba diapi-apikan oleh pemilik akaun palsu.

“Langkah ini dapat melindungi orang ramai daripada tindakan undang-undang sekiranya didapati terlibat dengan kenyataan berunsur fitnah, hasutan atau menggugat ketenteraman awam,” katanya.

SKMM berkata, Polis Diraja Malaysia dan agensi berkaitan lain boleh mengambil tindakan undang-undang, sekiranya terdapat salah guna Internet dan media sosial untuk tujuan jenayah atau hasutan.

“Orang ramai perlu sentiasa berhati-hati dan peka kepada percubaan menipu oleh mereka yang tidak mempedulikan undang-undang dan ketenteraman awam,” katanya. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI