fbpx

K2

Filipina dibadai taufan terkuat 2020

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
TAUFAN Goni yang melanda Filipina adalah taufan terkuat yang melanda dunia pada tahun ini. – AFP

“KEKUATAN taufan ini bukan satu gurauan. Taufan Goni yang membawa angin kencang berkelajuan 215 hingga 265 kilometer sejam diramalkan sebagai taufan terkuat di dunia pada tahun ini.”

Itu kenyataan media yang dikeluarkan Pegawai Pengurusan Bencana Tempatan, Gremil Naz hujung Oktober lalu ketika mengarahkan proses pemindahan ribuan penduduk di selatan Pulau Luzon, Filipina.

Ramalan itu memang benar. Taufan Goni yang telah melanda negara itu dikategorikan sebagai kategori 5 iaitu taufan terkuat yang membadai Filipina sejak Taufan Haiyan mengorbankan lebih 6,300 nyawa pada November 2013.

“Goni adalah siklon pembawa tanah runtuh paling kuat dalam sejarah,” kata seorang pakar kaji cuaca dari Yale, Amerika Syarikat.

Terdahulu, dua minggu sebelum itu, taufan Molave melanda negara tersebut sehingga mengorbankan 22 nyawa dengan kebanyakan daripada mereka mati disebabkan lemas.

“Taufan Goni merupakan taufan tropika ke-18 yang bergerak dalam laluan sama dengan Molave yang membadai sebelumnya.

“Taufan Goni itu juga membawa hujan lebat ke ibu negara Manila dan 14 wilayah lain, selain menyebabkan berlaku banjir dan tanah runtuh,” ujar satu kenyataan. Taufan tersebut menyebabkan sekurang-kurangnya 26 orang mati dan enam lagi tidak temui.

“Kami sedang berdepan waktu sukar disebabkan pandemik Covid-19 dan kini datang satu lagi bencana,” kata Senator Christopher Go yang merupakan pembantu khas tertinggi bagi Presiden Filipina, Rodrigo Duterte.

Taufan ketiga

Tidak sampai dua minggu Taufan Goni melanda, beberapa kawasan utama Pulau Luzon dan Pulau Catanduanes, dilanda pula taufan ketiga dikenali sebagai Vamco yang turut membadai negara tersebut sehingga menyebabkan banjir besar.

GAMBAR menunjukkan banjir besar yang melanda sebuah kawasan di Filipina yang dikirimkan pihak berkuasa kepada media.-AFP

Hingga kelmarin, Taufan Vamco menyebabkan lebih 240,000 penduduk dipindahkan dan lebih 73 nyawa terkorban dengan jumlah tersebut terus meningkat dari semasa ke semasa.

“Angin begitu ganas. Kami boleh mendengar ia mematahkan pokok. Ia terlalu kuat,” kata seorang penduduk, Francia Mae Borras.

Memetik kenyataan yang dikeluarkan Pentadbiran Perkhidmatan Atmosfera, Geofizikal dan Astronomi Filipina (PAGASA), taufan Vamco atau dikenali sebagai Ulyses di Filipina menyamai taufan kategori 2.

“Kali pertama taufan itu berlaku di Patnanungan, Quezon sekitar Rabu (11 November) pada pukul 11 malam waktu tempatan sebelum menghala ke barat mengakibatkan bencana kedua di Pulau Luzon.

Menurut PAGASA, ribut itu mengakibatkan banjir dan kenaikan paras air dua hingga tiga meter selain menyebabkan berlaku tanah runtuh.

SUASANA di salah sebuah pusat pemindahan yang masih menerapkan pematuhan SOP Covid-19. – AFP

Pada masa sama, Persekutuan Palang Merah dan Bulan Sabit Merah Antarabangsa menyatakan, kesan ribut menyebabkan sebahagian tengah bandar di Pulau Luzon musnah, sekali gus menjejaskan kira-kira 1.6 juta penduduk sama seperti Taufan Goni yang melanda 10 hari sebelum itu.

“Kami bimbang dengan nasib kira-kira 240,000 orang yang kehilangan tempat tinggal akibat Taufan Goni terutama mereka yang tinggal di pusat perlindungan sementara di sepanjang pantai ketika ribut baru melanda.

“Kita juga sudah kehabisan dana kecemasan kerajaan tempatan disebabkan pandemik Covid-19 yang mencatatkan Filipina sebagai negara kedua tertinggi di Asia Tenggara selepas Indonesia,” katanya.

Tambah memburukkan keadaan, ada penduduk di kawasan rendah di Manila dan sekitarnya terperangkap dan terpaksa berlindung di tingkat atas atau bumbung kediaman mereka.

Ratusan ribu penduduk juga terpaksa hidup dalam bergelap apabila bekalan elektrik terputus pada 11 dan 12 November lalu, selain menyebabkan jalan utama terputus hubungan.

Cabaran

Dalam pada itu, Setiausaha Dalam Negeri Filipina, Eduardo Ano menerusi kenyataannya yang dipetik Philippine News Agency berkata, operasi mencari dan menyelamat sedang giat dilakukan di seluruh Pulau Luzon terutama di daerah terjejas.

“Daerah tersebut termasuk Cainta, Montalban dan San Mateo di Rizal dan Metro Manila, khususnya di kota Marikina yang terkesan teruk akibat banjir.

“Polis Nasional Filipina turut mengerahkan lebih 25,000 anggotanya dalam usaha membantu mangsa terjejas akibat banjir.

“Hingga 14 November lalu, laporan situasi dari pusat arahan mencatatkan 411 kawasan terkesan akibat banjir, 519 kawasan tanpa elektrik dan 104 kawasan terputus telekomunikasi dengan 40,000 buah rumah yang musnah,” ujar kenyataan tersebut.

Pada masa sama, keadaan menjadi lebih rumit dan mencabar bagi pihak berkuasa tempatan untuk mengawal serta menjaga pematuhan prosedur operasi standard (SOP) penjarakan fizikal di 2,000 pusat penempatan sementara yang sesak bagi mengekang penularan Covid-19.

Hingga kelmarin, Filipina mencatatkan 410,718 kes Covid-19 dengan 7,862 kematian dicatatkan sekali gus menyebabkan negara itu terheret ke arah kemelesetan teruk akibat kedua-dua masalah berkembar itu.

Tidak terhenti di situ, Taufan Vamco yang merupakan taufan ketiga terkuat pernah melanda Filipina turut beralih ke Vietnam dan memaksa pihak berkuasa mengarahkan kira-kira 460,000 penduduk di wilayah tengah negara itu bersiap untuk dipindahkan.

Vamco melanda Vietnam dengan kelajuan angin kencang sehingga 150 kilometer sejam.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI