PASIR GUDANG – Penceramah popular, Ustaz Ebit Lew sekali lagi tampil membantu individu memerlukan khususnya mereka yang berada dalam kesempatan ketika negara dilanda pandemik Covid-19 ketika ini.
Bapa kepada empat anak yang menjadi tular selepas motosikal ditunggangnya terbakar ketika dalam perjalanan mendapatkan bantuan buat keluarganya menerima motosikal baharu sumbangan penceramah berkenaan.
Ebit menerusi satu kenyataan ringkas yang dimuat naik dalam laman Facebook miliknya berkata, dia berasa sebak apabila mengetahui kisah yang menimpa keluarga berkenaan.
“Sebak rasa baca pasal abang bersama dua anaknya perlu bantuan di Johor dan motor terbakar dalam perjalanan.
“Hari ini saya belikan motor baharu hadiahkan kepada abang ini serta sedikit duit belanja,” katanya dalam kenyataan tersebut.
Isnin lalu, motosikal ditunggang Amran Ronggi, 29, dan dua orang anaknya terbakar di Plaza Tol Senai ketika dalam perjalanan mendapatkan bantuan di Baitulmal.
Kejadian itu dikongsi laman Facebook rasmi Ibu Pejabat Polis Daerah Kulai, sebelum menjadi tular di media sosial dan mendapat perhatian pelbagai pihak untuk menghulurkan sumbangan.
Sementara itu, pendakwah itu turut menyampaikan sumbangan berupa barangan keperluan kepada 84 buah keluarga yang tinggal di Perkampungan Orang Asli Kuala Masai itu.
Ebit turut berkata, syukur banyak pihak tampil menghulurkan sumbangan dan bantuan buat keluarga ini.-K! ONLINE