PASIR PUTEH – Seorang guru Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Petai di sini menggunakan bunga cengkih sebagai bahan utama untuk memulihkan ketagihan rokok dalam kalangan pelajarnya.
Naib Pengerusi Jawatankuasa Pemulihan Dadah Negeri Kelantan, Zurkurnan Yusoff berkata, rempah itu mampu memberi kesan positif sekiranya digunakan mengikut tempoh tertentu sehingga berjaya menghentikan tabiat merokok.
Menurutnya, petua kemam tujuh kuntum bunga cengkih setiap hari bagi menggantikan rokok berjaya berdasarkan pengalamannya selaku perokok tegar sebelum ini.
“Hasil penggunaan bunga cengkih, saya berjaya meninggalkan tabiat merokok sejak tahun 2011 hingga sekarang.
“Petua ini juga saya gunakan untuk memulihkan pelajar dan juga penagih dadah dalam kalangan Orang Kena Pengawasan (OKP) untuk kembali mengamalkan gaya hidup sihat,” katanya ketika ditemui Kosmo! di sini hari ini.
Zurkunan berkata, bunga cengkih itu akan di basuh sebelum sebelum dibawa ke sekolah khusus untuk pelajar yang dikenal pasti merokok.
Katanya, sekuntum bunga cengkih perlu diletakkan di dalam mulut, dikemam dan sebelum ia dihisap perlahan-lahan.
“Apabila rempah ini menjadi lembut ia perlu dikunyah hingga hancur dan ditelan,” ujarnya. -K! ONLINE