SERDANG – Anak kepada seorang anggota polis ditemui lemas di dalam bilik air di kuarters polis di Seri Kembangan semalam.
Dalam kejadian pukul 2 petang, kanak-kanak perempuan berusia 21 bulan itu dikatakan berada di kediaman tersebut bersama ibunya.
Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Razali Abu Samah berkata, kanak-kanak itu dikatakan sedang bermain manakala ibunya pula memasak di dapur.
Katanya, selepas beberapa minit tiada kelibat dan bunyi mangsa membuatkan ibunya mencari sebelum menemui kanak-kanak itu di dalam keadaan tidak sedar diri di dalam bilik air kediaman berkenaan.
“Panik dengan kejadian yang menimpa anak tunggal itu, isteri kepada anggota berpangkat Lans koperal tersebut meminta bantuan jiran sebelum membawa mangsa ke balai polis.
“Mangsa kemudian dibawa ke Hospital Serdang, namun pasukan perubatan mengesahkan kanak-kanak itu sudah meninggal dunia,” katanya kepada Kosmo! hari ini.
Menurutnya lagi, mayat dibedah siasat sebelum dibawa ke Tumpat, Kelantan untuk pengebumian hari ini.
Kes disiasat mengikut Seksyen 33 Akta Kanak-kanak 2001. – K! ONLINE