fbpx

AADK mahu lebih ramai jalani rawatan secara sukarela

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) menyasarkan peningkatan sehingga 30 peratus tahun hadapan berbanding 19 peratus ataupun 832 orang daripada 4,356 individu yang menjalani rawatan dan pemulihan secara sukarela di Pusat Rawatan Pemulihan Narkotik (PUSPEN) ketika ini.

Ketua Pengarah AADK, Datuk Seri Zulkifli Abdullah berkata, bagi mencapai sasaran itu, mereka melancarkan modul Anjakan Kepulihan: Pendekatan Sukarela yang menyediakan program rawatan dan pemulihan secara sukarela yang lebih efektif dan sistematik.

“Modul itu juga memberi kemahiran kepada klien untuk mengaplikasikan elemen modal kepulihan dan kemahiran mengatasi berdasarkan peluang dan keupayaan dalam kehidupan mereka.

“Besarlah harapan saya, dengan adanya modul baharu ini akan menarik minat, keyakinan dan kesediaan mereka yang terlibat dengan penagihan dadah untuk tampil mendapatkan rawatan dan pemulihan secara sukarela,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran modul tersebut di PUSPEN Sungai Besi di sini hari ini.

Sementara itu, menurut Zulkifli, statistik AADK mendapati mereka yang terlibat dengan pengambilan dadah semakin muda iaitu berlaku seawal usia 13 tahun.

Katanya, remaja yang dikesan terlibat dengan penagihan dadah berusia antara 13 hingga 18 tahun adalah seramai 4,918 orang pada tahun 2018 dan 3,289 orang (2019).

“Golongan pelajar institusi pengajian tinggi pula adalah seramai 481 orang pada tahun 2018 dan 526 orang (2019).

“Jumlah keseluruhan mencatatkan seramai 130,788 orang pada tahun 2018 dan 142,199 pada tahun 2019,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI