KUALA LUMPUR – Tuduhan beberapa pihak yang mempersoalkan fungsi sebenar Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) perlu diperjelaskan sewajarnya supaya tiada isu berbangkit sehingga menjejaskan kepentingan ramai.
Menteri Wilayah Persekutuan Tan Sri Annuar Musa berkata, dakwaan kononnya wujud konflik kepentingan antara Datuk Bandar Kuala Lumpur dengan YWP adalah tidak benar, malah Datuk Bandar bukan Ahli Pemegang Amanah kepada YWP.
“Jika dahulu sebelum tahun 1999, bermungkinan Datuk Bandar masa itu pernah menjadi Ahli Lembaga dan isu tersebut sepatutnya telah diselesaikan menteri sebelum ini jika berasa ada perkara tidak kena. Kerajaan Pakatan Harapan (PH) sebelum ini ada 22 bulan mentadbir dan ini kes biasa sahaja, patut diselesaikan.
“Pada hemat saya, perkara itu tidak berlaku kerana tidak ada masalah seperti yang dinyatakan. YWP bukan agensi kerajaan, malah bukan milik kerajaan, sebaliknya YWP Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) tidak ada menerima dana kerajaan mahupun bajet kerajaan,” katanya dalam satu sidang akhbar di Parlimen, hari ini.
Sidang akhbar tersebut diadakan bagi menjelaskan beberapa isu berbangkit berhubung laporan yang dibentang oleh Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC), baru-baru ini.
Pengerusinya, Wong Kah Wong sebelum ini dilaporkan berkata, PAC mendapati pengurusan YWP yang terlibat dalam urusan pembelian tanah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) terdedah kepada konflik kepentingan memandangkan Menteri Wilayah Persekutuan dan Datuk Bandar Kuala Lumpur turut memegang jawatan sebagai Pengerusi dan Ahli Lembaga Pemegang Amanah YWP. – K! ONLINE.