fbpx

Tragedi Rumah Pasung Bukit Yong akan dibukukan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Lakonan semula tragedi berdarah Rumah Pasung Bukit Yong sempena perasmian Balai Polis Bukit Yong, Pasir Puteh hari ini.

PASIR PUTEH – Sejarah Rumah Pasung Bukit Yong dan perjuangan tiga anggota polis sewaktu serangan komunis pada 23 Mac 1953 akan dibukukan secara terperinci sebagai catatan sejarah perjuangan perwira negara.

Ketua Polis Kelantan, Deputi Komisioner Shafien Mamat berkata, binaan balai polis Bukit Yong dikenali sebagai Rumah Pasung Bukit Yong pada era 50-an bercirikan dinding buluh beralaskan kayu dan menempatkan sembilan anggota polis yang bertugas.

Menurutnya, sembilan buah berek kediaman keluarga anggota yang bertugas juga terletak di kawasan berdekatan yang menjadi lokasi pertumpahan darah apabila 12 orang komunis bersenjatakan senapang telah menembak anggota bertugas selain membakar rumah pasung berkenaan selepas senjata polis dicuri.

“Sketsa dan lakonan semula anggota polis mengenai kejadian yang berlaku kira-kira 67 tahun lalu sempena perasmian Balai Polis Bukit Yong hari ini ada nilai sejarahnya yang tersendiri termasuk keberanian tiga anggota yang bertugas pada waktu itu.

“Sebagai anak Kelantan, saya teruja menyaksikan lakonan semula yang perlu ditulis dan dibukukan semula seperti sejarah tragedi Bukit Kepong yang telah difilemkan,” katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Perasmian Balai Polis Bukit Yong di sini hari ini.

Majlis perasmian itu disempurnakan oleh Timbalan Pengarah (Siasatan) Jabatan Siasatan Jenayah Komersil, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Deputi Komisioner Datuk Rusli Mohd. Noor.

Mengulas lanjut, Shafien berkata, keluarga mangsa yang meninggal dunia dalam tragedi berdarah itu turut dijemput bersama menghadiri majlis perasmian balai polis Bukit Yong sebagai penghormatan kepada mereka.

Katanya, anak-anak perwira yang terkorban dalam tragedi itu masih ada dan mereka boleh menceritakan semula mengenai kejadian itu sekali gus membolehkan sejarah itu dibukukan dengan lebih terperinci. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI