SEVILLE – Sepanyol mempamerkan aksi ‘gila’ apabila berjaya membelasah Jerman 6-0 pada aksi Liga Negara-Negara Eropah di Stadium La Cartuja, Seville awal pagi semalam sekali gus layak ke saingan final.
Pada perlawanan menentang Jerman, Sepanyol dilihat cukup selesa sekali gus menyaksikan Ferran Torres meledak hatrik manakala tiga lagi gol masing-masing dijaringkan oleh Alvaro Morata, Rodri dan Mikel Oyarzabal.
“Saya berkongsi perasaan yang sama dengan para peminat Sepanyol. Sangat gembira dan berpuas hati. Apa yang penting adalah kami kembali ke landasan kemenangan,” kata pengendalinya, Luis Enrique.
Beliau mengakui bahawa keputusan yang diperoleh itu adalah hasil kerja keras yang dipamerkan oleh para pemainnya sepanjang sesi latihan.
Sebelum ini, mereka ketinggalan di belakang Jerman selepas gagal menewaskan Switzerland dan hanya menjaringkan tiga gol dalam lima perlawanan terdahulu.
“Orang boleh menilai dari segi angka dan membuat keputusan sendiri tetapi saya fikir kami layak untuk mendapat keputusan yang baik.
“Saya tidak mahu memetik nama individu tertentu yang paling menonjol pada aksi kali ini kerana ia tidak adil. Kami tidak mampu memberikan tekanan buat Jerman tanpa kerja sepasukan.
“Keputusan ini memberi kesan besar kerana pemain sedar kemampuan yang dimiliki. Bukan untuk mereka alpa tetapi sebagai cabaran untuk mengekalkan sikap seperti yang ditunjukkan kali ini,” jelasnya. – AGENSI